Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

419) HALA TUJU ANAK-ANAK OKU SELEPAS TAMAT PENGAJIAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah merangka program khas yang menghubungkan anak-anak OKU dengan latihan atau pemantauan selepas tamat kursus atau pengajian?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS), YAWAS telah melaksanakan Independent Living Support Centre (ILSC) yang merupakan kursus kemahiran pekerjaan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran berumur antara 17 hingga 25 tahun.

    Antara kursus yang dijalankan adalah seperti kursus teknologi maklumat, perusahaan reroti (bakery), pembuat kopi (barista), perhotelan dan dobi. Program ILSC dilaksanakan di tujuh (7) pusat seperti berikut:

    1. Rumah Amal Cheshire
    2. Infinite Minds Academy (IMA)
    3. Pertubuhan Keluarga Orang-Orang Bermasalah Pembelajaran (PERKOBP)
    4. Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Sepang
    5. Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua
    6. Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Kuala Langat
    7. Menara Kementerian Belia dan Sukan

    Jabatan ANIS turut bekerjasama dengan PERKESO bagi proses pencarian pekerjaan bagi peserta yang telah tamat kursus termasuklah bimbingan untuk membantu mereka menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan. Selain itu, terdapat juga usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kebolehan OKU dan mempromosikan inklusiviti di tempat kerja.

  2. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai program bimbingan atau sokongan kewangan jangka panjang untuk membantu anak-anak OKU ini membangunkan kemahiran berdikari?

    Buat masa ini, sokongan yang diberikan kepada OKU bagi memastikan mereka boleh menjalani hidup secara berdikari ialah pemberian manfaat secara ‘in-kind’ dan bukan dalam bentuk kewangan. Selain program ILSC, Kerajaan Negeri melalui Jabatan ANIS telah menyediakan program bimbingan dan sokongan iaitu Kursus Job Coach yang bertujuan untuk menyediakan latihan dan sokongan kepada individu yang ingin membantu OKU bagi mendapatkan pekerjaan dan kekal bekerja.

    Manakala Kursus DET (Disability Equality Training) pula merujuk kepada program latihan yang direka khusus untuk membantu majikan bagi memahami keperluan OKU dan pendekatan bagi mengendalikan golongan tersebut. Kursus ini sedang dijalankan bersama pengurus bahagian sumber manusia anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.