Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

295) HAL EHWAL PENGGUNA

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk melindungi hak pengguna di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil beberapa langkah dalam melindungi hak pengguna di negeri ini dengan kerjasama rapat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Antaranya ialah pelaksanaan pemantauan dan kawalan harga barangan atau Pemeriksaan Walkabout bagi memastikan kestabilan harga barangan yang melibatkan tiga perayaan utama iaitu Sambutan Tahun Baru Cina, Sambutan Hari Raya dan juga Hari Deepavali di pasaraya-pasaraya terpilih di sekitar negeri Selangor. Pemantauan harga barangan ini akan diteruskan pada tahun 2025 sebagai langkah berterusan untuk memastikan harga barangan asas berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

     

    Bagi memastikan hak-hak pengguna kekal terpelihara, KPDN telah melantik seramai 373 orang ketua kampung sebagai Hero Pengguna semasa Majlis Perasmian Karnival Pengguna peringkat Negeri Selangor yang berlangsung pada 26 November 2024. Hero Pengguna ini berperanan sebagai mata dan telinga rakyat dalam menyalurkan aduan berkaitan kepenggunaan serta membantu dalam pemantauan isu-isu pengguna di peringkat komuniti.

  2. Apakah program pendidikan pengguna yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran hak pengguna?

    Dalam memastikan setiap peringkat masyarakat mendapat akses kepada maklumat kepenggunaan, KPDN Negeri Selangor telah melaksanakan pelbagai program advokasi yang menyasarkan golongan berbeza, antaranya:

    1. Kelab Pengguna Sekolah – Menyediakan platform pendidikan kepenggunaan kepada pelajar sekolah menengah.
    2. Gerakan Pengguna Siswa – Mendidik pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tentang hak pengguna melalui aktiviti interaktif.
    3. Gerakan Pengguna Negeri dan Gerakan Pengguna Daerah – Melibatkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam memperkasakan kesedaran kepenggunaan di peringkat daerah dan negeri.

     

    Program pendidikan kepenggunaan yang dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek penting seperti:

    1. Ceramah literasi kewangan – Menekankan kepentingan belanja secara bijak dan mengurus kewangan dengan berkesan.
    2. Kesedaran tentang penipuan (scammer) – Melalui kerjasama dengan PDRM, ceramah diberikan untuk meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan dalam talian.
    3. Penguatkuasaan hak pengguna – Memberikan penerangan kepada pengguna mengenai platform aduan, akta perlindungan pengguna, serta cara menggunakan Tribunal Tuntutan Pengguna untuk menyelesaikan pertikaian.

    Selain program berbentuk ceramah dan bengkel, pelbagai aktiviti interaktif juga dilaksanakan bagi meningkatkan minat pengguna dalam memahami hak mereka, antaranya:

    1. Cabaran Interaktif Pengguna (CIP) – Modul pendidikan yang diterapkan dalam kalangan pelajar sekolah untuk mengenali isu kepenggunaan dengan lebih mendalam.
    2. Modul kepenggunaan di IPT – Dijalankan melalui format yang lebih menarik seperti kuiz Kahoot bagi menarik minat pelajar memahami hak pengguna secara interaktif.
    3. Kempen Kesedaran Anti-Pembaziran – Program MySave Food dilaksanakan bagi memupuk sikap pengguna yang tidak membazir.
    4. Pertandingan TikTok Kepenggunaan – Satu inisiatif kreatif yang memberi peluang kepada masyarakat untuk menyebarkan kesedaran mengenai hak pengguna melalui media sosial.

     

    Selain itu, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi dengan kerjasama Kelab Skuad Sehati telah melaksanakan Program Pendidikan dan Kesedaran Pengguna yang diadakan pada 14 Disember 2024 bagi meningkatkan pemahaman dan pendedahan kepada masyarakat tentang hak pengguna di negeri Selangor.

     

    Dengan pelaksanaan program-program ini, Kerajaan Negeri yakin bahawa advokasi kepenggunaan yang menarik dan efektif dapat memastikan setiap peringkat pengguna memahami serta mengetahui hak mereka dalam setiap aspek kehidupan seharian.

Lampiran

Tiada Lampiran.