Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
108) HAL EHWAL ORANG ASLI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Orang Asli
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah bilangan penduduk terkini mengikut suku kaum bagi masyarakat orang asli di Negeri Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Pelek, jumlah terkini penduduk Orang Asli di Negeri Selangor adalah seramai 21,691 orang, dengan suku kaum yang paling ramai adalah Suku Temuan seramai 15,667 orang. Pecahan penduduk mengikut suku kaum dan jumlah penduduk Orang Asli mengikut Daerah Negeri Selangor adalah seperti Lampiran 1.
-
Berapakah jumlah peruntukan Kerajaan Negeri Selangor yang digunakan bagi tahun 2018 - 2023 untuk pembangunan dan hal ehwal orang asli?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli telah memperuntukan sebanyak RM 2.5 juta bagi tahun 2024 untuk tujuan Pembangunan dan hal ehwal Orang Asli dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli meliputi tujuh fokus utama iaitu pewartaan tanah, pendidikan, infrastruktur, ekonomi, kepimpinan, kebudayaan dan kesihatan. Peruntukan bagi tahun 2018 – 2023 adalah seperti Lampiran 2.
Peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor dari tahun 2018-2023 adalah berjumlah RM17,966,163.97. Peruntukan ini merangkumi, program Pembangunan Modal Insan berjumlah RM1,370,145.80, program Pembangunan Infrastruktur dan Ameniti Sosial berjumlah RM12,332,474.67 dan program Pembangunan Ekonomi dan Usahawan berjumlah RM4,263,583.50.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam pembangunan pendidikan dan pembangunan modal insan masyarakat orang asli bagi tahun 2024?
Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Pelek juga, Kerajaan Negeri Selangor telah merancang pelbagai program yang memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat Orang Asli seperti program menaiktaraf kediaman orang asli, infrastruktur dan juga pembangunan pendidikan, kesihatan dan ekonomi. Program-program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Pengurusan dan Kemajuan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 setahun. Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan berjumlah RM1,000,000.00 bagi baik pulih dan bina baru kediaman Masyarakat Orang Asli bagi memastikan mereka dapat hidup dengan selamat dan selesa.
Melalui JAKOA Selangor pula, pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan dalam pembangunan pendidikan dan Pembangunan Modal Insan masyarakat Orang Asli. Dalam aspek pembangunan pendidikan, pelbagai bantuan pendidikan yang disediakan seperti bantuan pakaian seragam sekolah kepada murid darjah 1 dan tingkatan 1, bantuan wang saku RM4.00 sehari kepada pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5, bantuan biasiswa kepada pelajar yang memasuki IPTA, yuran pelbagai, program motivasi pelajar; dan Anugerah Murid Cemerlang Orang Asli (AMCOA). Manakala pelaksanaan program Pembangunan Modal Insan merangkumi program Karnival Belia Orang Asli, Kursus Pemantapan Institusi Kepimpinan, program Outreach Kemahiran Quick Win-Tvet dan Karnival Sukan Orang Asli.