Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

10) HAL EHWAL ORANG ASLI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan Negeri bertindak bagi memastikan taraf ekonomi dan perusahaan kecil kaum orang Asli sentiasa terjamin?

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Lanjan, bagi memastikan taraf ekonomi dan perusahaan kecil masyarakat Orang Asli sentiasa terjamin, beberapa program dan inisiatif dilaksanakan. Antaranya dengan menyediakan bantuan peralatan melalui program Bantuan Pembangunan Usahawan dan Quick Win. Selain itu, kerajaan juga telah menyediakan platform bagi produk-produk masyarakat Orang Asli untuk dipromosi dan dipasarkan iaitu melalui Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA), Karnival Usahawan Desa (KUD) dan media sosial. Kursus dan bimbingan juga turut disediakan bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan.

  2. Apakah bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk kaum Orang Asli?

    Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa peka dalam membenteras kemiskinan di negeri ini bagi keluarga miskin mahupun keluarga miskin tegar tanpa mengira kaum dan agama. Sehubungan dengan itu, Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan satu inisiatif berterusan malah menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan terutama keluarga miskin tegar. ISP adalah program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan Social Safety Net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara program yang terlibat ialah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bas Smart Selangor, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian kemiskinan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) dan banyak lagi.

     

    Masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan dalam menerima bantuan-bantuan yang melibatkan peningkatan pendapatan Kerajaan Negeri Selangor dan bagi tahun 2024 ini, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli sentiasa menggalakkan masyarakat Orang Asli untuk memohon bantuan-bantuan yang disediakan. Perhatian dan keutamaan kepada pemohon yang terdiri dari masyarakat Orang Asli yang berkelayakan akan dipertimbangkan permohonannya.

     

    Antara bantuan dan program lain yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor bagi memperkasa masyarakat Orang Asli adalah melalui program Pembangunan Modal Insan, program Pembangunan Sosioekonomi, Infrastruktur dan Keusahawanan.

     

    1. Melalui program Pembangunan Modal Insan, beberapa inisiatif telah dilaksanakan antaranya bantuan pendidikan seperti wang saku, pakaian seragam sekolah, yuran pelbagai, biasiswa kepada pelajar yang memasuki IPTA, program bakul makanan, pembiayaan perubatan dan bantuan alatan sokongan pesakit.
    2. Melalui program Pembangunan Sosio-ekonomi, program yang dilaksanakan adalah program pembangunan infrastruktur dan ameniti sosial, projek bekalan air terawat, projek jalan perhubungan dan Projek Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA) manakala bagi program Pembangunan Ekonomi dan Usahawan ialah Projek Pembangunan Ladang Masyarakat Orang Asli (PLMOA), Projek Tanam Semula Komersial (TSK), projek hands holding, pengembangan pertanian, bantuan input pertanian dan bantuan usahawan.
  3. Apakah usaha Kerajaan bagi melindungi hak tanah orang Asli dan memastikan hak adat mereka dihormati dan diiktiraf?

    Usaha untuk melindungi hak tanah Orang Asli adalah satu isu yang penting dalam pembangunan dan pemeliharaan kesejahteraan komuniti Orang Asli di Malaysia. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mempunyai peranan penting dalam memastikan hak tanah Orang Asli dilindungi, bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan. Bagi melindungi hak tanah Orang Asli, sebarang pencerobohan atau pengambilan tanah Orang Asli dilindungi seperti mana terkandung dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134). Tiada pihak sewenang-wenangnya memasuki tanah atau perkampungan Orang Asli kecuali mendapat kebenaran dari pihak JAKOA agar pemantauan dapat dilakukan. Kerajaan Negeri Selangor juga komited untuk memastikan semua tanah Orang Asli diwartakan samada di bawah Seksyen 6 atau Seksyen 7, Akta Orang Asli. Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM 1 juta bagi menampung bayaran kerja ukur tanah dan penyediaan pelan pra-hitungan bagi menyelesaikan isu pewartaan Kampung Orang Asli di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.