Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

34) HAKMILIK TANAH SEKOLAH

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah cara penyelesaian untuk isu tanah sekolah yang belum diwartakan bawah hakmilik SJKT Batu Arang dan SMK Rawang?

    Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)  Batu Arang telah ditubuhkan pada 1 Januari 1936 dengan anggaran keluasan tapak sekolah adalah seluas 2.5 ekar dan didirikan di atas Tanah Rizab Persekutuan [Warta 166(4)]. SJK (T) Batu Arang merupakan sekolah berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK). Untuk makluman, permohonan bagi tujuan pemberimilikan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) telahpun dibuat pada 30 Januari 2012 dan didaftarkan dengan nombor fail JKPTG: JKPTG/101/878/(TK)/1/10-861. Proses permohonan pemberimilikan ini masih dalam tindakan dan pertimbangan  di peringkat Bahagian Pembangunan, KPM, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS).

    Seterusnya, bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawang pula ia telah ditubuhkan pada 1 Januari 1982 dengan anggaran keluasan tapak sekolah adalah seluas 9.6 ekar dan didirikan di atas tapak rizab pendidikan yang berstatus tanah Kerajaan Negeri. SMK Rawang  merupakan sekolah berstatus Sekolah Kerajaan (SK). Untuk makluman, JPN Selangor telahpun mengemukakan permohonan pemberimilikan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) ke Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 9 Ogos 2021 untuk tindakan selanjutnya.

  2. Apakah status kini berkenaan permohonan tanah baru untuk kegunaan padang sekolah bagi SJKC Batu Arang dan SJKC San Yuk?

    Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Batu Arang (atau nama lainnya adalah SJK (C) Chap Khuan) telah ditubuhkan pada 1 Januari 1920 dengan anggaran keluasan tapak sekolah adalah seluas 5.67 ekar dan didirikan di atas Tanah Rizab Persekutuan [Warta 166(4)]. SJK (C)  Batu Arang merupakan sekolah berstatus Sekolah Kerajaan (SK). Untuk makluman, permohonan bagi tujuan pemberimilikan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) telahpun dibuat pada 22 November 2018 dengan nombor fail JKPTG: JKPTG/101/878/(TK)/1/10-969 dan ianya turut melibatkan kawasan lapang (padang) yang terletak bersebelahan dengan sekolah berkenaan. Proses permohonan pemberimilikan ini masih dalam tindakan dan pertimbangan di peringkat Bahagian Pembangunan, KPM, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS).

    Bagi SJKC San Yuk pula, ia telah ditubuhkan pada 1 Januari 1916 dengan anggaran keluasan tapak sekolah adalah seluas 1.5 ekar dan didirikan di atas Tanah Rizab Persekutuan [Warta 166(4)] dengan nombor fail JKPTG: KTPK/101/872/1/10-107. SJKC San Yuk merupakan sekolah berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK). Setakat ini, semakan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mendapati bahawa tiada sebarang permohonan yang diterima daripada pihak sekolah berhubung pewartaan bagi tujuan perizaban kawasan lapang (padang) yang terletak bersebelahan dengan sekolah berkenaan, iaitu melibatkan tapak tanah Kerajaan Negeri. Sehubungan dengan itu, pihak SJKC San Yuk melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) boleh mengemukakan permohonan bagi tujuan perizaban kawasan lapang tersebut kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.