Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
6) HAKISAN TEBING SUNGAI
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Beberapa kejadian tanah runtuh telah berlaku akibatnya hakisan tebing sungai. Apakah perancangan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah hakisan di tebing sungai.
Kerajaan menangani masalah hakisan tebing ini melalui dua cara iaitu pembaikan (curative) dan pencegahan (preventive). Kerja-kerja pembaikan jangka pendek dan jangkapanjang dilaksanakan bergantung kepada tahap kritikal masalah runtuhan tebing tersebut.
Dari segi pencegahan pula, salah satu tindakan kerajaan negeri ialah dengan mewartakan kawasan rizab sungai bagi mengelakkan pembangunan terlalu menghampiri tebing sungai. Keluasan rizab sungai mengambilkira risiko tebing runtuh dan zon penampan antara pembangunan dan sungai ini memastikan keterdedahan yang minima.
Perancangan Kerajaan negeri ialah untuk memantapkan lagi rizab sungai melalui pewartaan di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Selain itu, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan LUAS menguatkuasakan pematuhan pemaju terhadap syarat-syarat Manual Saliran Mesra Alam yang menetapkan kuantiti air dan juga kualiti air yang boleh disalirkan ke sungai. Sungai yang menerima terlalu banyak air dengan terlalu cepat mempunyai risiko hakisan tebing dan banjir yang tinggi.
-
Adakah kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan bagi mengatasi masalah hakisan tebing tersebut. Jika ada, berapakah jumlah peruntukan tersebut?
Bagi tahun 2011 Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 300,000.00 bagi program pengukuhan tebing dan hakisan sungai.
Maklumat tambahan:
Kerja jangka pendek bertujuan menjalankan kerja-kerja pembaikan segera bagi mengekang masalah runtuhan tebing atau bagi membaiki masalah-masalah yang mudah. Kerja jangka panjang pula adalah penyelesaian kejuruteraan yang kekal yang melibatkan seksyen sungai yang panjang dan bagi masalah-masalah yang lebih kompleks. Kerja-kerja sebegini juga melibatkan elemen pengindahan dan pemuliharaan tebing dan rizab secara mesra alam.