Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

12) HAK PENEROKA/WARIS TANAH KAMPUNG TELOK GONG

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah permohonan peneroka/waris peneroka asal yang masih belum mendapat geran tanah?

    Cabutan Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 8.12.2002 Kertas Ringkasan MMK No.60/33/2002 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri 1/2003 bertarikh 8 Januari 2003 telah menimbang dan meluluskan permohonan pemberimilikan tanah di Kampung Hamid Tuah kepada 154 peneroka asal bagi tujuan pertanian.

    Sehingga 8 November 2021 semakan mendapati 74 peneroka telah selesai mendapatkan hakmilik manakala bakinya masih belum mendapatkan hakmilik melibatkan luas keseluruhan sebanyak 72.17 hektar (178.33 ekar).

  2. Apakah langkah penyelesaian pihak kerajaan sekiranya terdapat pemilik berdaftar yang enggan menyerahkan hak milik mereka?

    Ketika ini Pejabat Daerah Tanah Klang berperanan sebagai moderator dengan melaksanakan perbincangan dan rundingan bersama pemilik berdaftar berkaitan cadangan tapak gantian serta keperluan untuk serah keseluruhan tanah. Namun, jika perkara tersebut tidak dapat diselesaikan melalui rundingan, pentadbiran ini akan memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk tindakan seterusnya.

  3. Adakah pihak Kerajaan Negeri dapat memberikan butiran penuh peneroka-peneroka tersebut secara bertulis?

    Berdasarkan perbincangan dan pertemuan Pejabat Daerah Tanah Klang bersama Y.B pada Oktober 2021 yang lepas, pentadbiran ini akan mengemukakan butiran penuh peneroka tersebut secara bertulis kepada pihak Y.B untuk semakan bersama bagi memastikan tiada tambahan peneroka di kawasan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.