Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

150) HAK MILIK TANAH BAWAH LIKUIDATOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu-isu hak milik tanah di bawah lokuidator terutamanya di kawasan perumahan?

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) sentiasa berusaha menangani isu-isu hak milik tanah di bawah pelikuidasi (liquidator) di Selangor walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja. Pelaksanaan pindah milik di antara pelikuidasi dengan pembeli hartanah ini terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang ditadbir melalui Akta Insolvensi, Akta Syarikat dan Akta Pemajuan Perumahan. Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan hak para pembeli rumah terpelihara adalah seperti berikut:

    1. Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan di antara pelikuidasi dan agensi-agensi yang terlibat;
    2. Mengadakan perbincangan bersama pelikuidasi terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan isu pindah milik;
    3. Memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke MDI atau SSM bagi pelikuidasi-pelikuidasi yang tidak melaksanakan tindakan penyelesaian.
  2. Apakah halangan dan cabaran utama berkenaan pindaan hak milik daripada likuidator kepada pemilik hartanah di kawasan Teratai, iaitu beberapa pembangunan di Taman Lembah Maju, Taman Saga dan Pandan Perdana?

    Antara halangan dan cabaran utama yang dihadapi berkenaan isu pindah milik daripada pihak penyelesai kepada pembeli hartanah ialah:

    1. Pelikuidasi yang dilantik tidak berupaya melaksanakan tindakan penyelesaian;
    2. Tiada permohonan penggulungan daripada pihak pemaju;
    3. Urusan hak milik strata yang masih belum selesai; dan
    4. Tindakan penguatkuasaan tidak boleh dilakukan kerana di luar bidang kuasa Pentadbiran Tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.