Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
48) HAK MILIK STRATA FLAT FASA 2 DAN FASA 4 BANDAR BARU SUNGAI BULOH
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah hak milik strata yang masih tertangguh di kawasan ini?
Untuk makluman Yang Berhormat Paya Jaras, hasil semakan telah mengenal pasti bahawa punca kegagalan pengeluaran hakmilik strata bagi pembangunan berstrata di Pangsapuri Kos Rendah Fasa 2 dan Fasa 4 adalah disebabkan tiada Hakmilik Tetap (Final Title) walaupun Pelan Akui telah dikeluarkan. Di samping itu, skim ini juga mempunyai tunggakan cukai tanah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 202,329.30. Sehubungan dengan itu, pengeluaran dokumen hakmilik tanah dan strata hanya boleh dikeluarkan sekiranya syarat-syarat yang dinyatakan seperti di dalam Seksyen 10, Akta Hakmilik Strata (AHS) 1985 dipenuhi.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil maklum dan komited dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan skim pembangunan berstrata yang masih belum mempunyai hakmilik. Oleh yang demikian, satu cadangan peruntukan khas bagi penyelesaian strata negeri Selangor dijangka-akan dilaksanakan-pada tahun ini dan Pangsapuri Kos Rendah Fasa 2 serta Fasa 4 boleh dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat-syarat kelayakan bagi permohonan peruntukan tersebut.
-
Adakah perlu sebarang Pindaan Peraturan atau Enakmen dilakukan bagi memudah cara hak milik bagi kes yang pembinaan yang telah berlaku sebelum peraturan baru dikuatkuasakan?
Untuk makluman Yang Berhormat Paya Jaras, Akta Hakmilik Strata (AHS) 1985 merupakan satu perundangan berkaitan pembangunan berstrata yang seragam dan diguna pakai di seluruh negeri Semenanjung, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. Oleh yang demikian, semua permohonan hakmilik strata adalah tertakluk di bawah peruntukan undang-undang AHS 1985. Syarat-syarat kelulusan permohonan hakmillk strata yang ditetapkan adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan pihak yang mempunyai hak ke atas permohonan tersebut. Sekiranya syarat-syarat permohonan hakmilik strata telah dipenuhi seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 10, AHS 1985, pengeluaran hakmilik strata boleh diproses dalam tempoh enam (6) bulan tertakluk kepada komitmen pihak jurukur yang dilantik serta pihak pemaju/tuan tanah.