Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

14) HAIWAN TERANCAM DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Negeri Selangor mempunyai spesies haiwan terancam yang dilindungi?

    Diantara spesies utama hidupan liar terancam yang direkodkan di Negeri Selangor ialah:

    1. Harimau Malaya (Panthera tigris jacksonii)
    2. Tapir Malaya (Tapirus indicus);
    3. Harimau kumbang (Panthera pardus);
    4. Kambing Gurun (Capricornis sumatraensis);
    5. Ungka (Hylobates spp.);
    6. Siamang (Symphalangus syndactylus);
    7. Memerang (Lutra spp.); dan
    8. Spesies Burung Enggang

    Semua hidupan liar terancam ini dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] yang merupakan Akta utama diperuntukkan bagi perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

  2. Apakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam melindungi dan memulihara spesies haiwan terancam di Negeri Selangor?

    Secara amnya, tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam melindungi dan memulihara spesies hidupan liar terancam di Negeri Selangor melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Selangor ialah seperti berikut:

    1. Melindungi hutan-hutan penting untuk hidupan liar di Selangor seperti HS Gading, HS Semangko, HS Hulu Selangor, HS Ampang Pechah, HS Bukit Kutu, HS Batang Kali, HS Serendah, HS Hulu Gombak, HS Templer, HS Ampang, HS Hulu Langat dan HS Sg Lalang;
    2. Memperkasa semua aktiviti penguatkuasaan termasuk mengukuhkan perlindungan di semua kawasan berhutan dan membanteras jenayah hidupan liar melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) serta penglibatan NGO melalui perlantikan Renjer Komuniti.
    3. Berdasarkan spesis utama hidupan liar terancam yang direkodkan di Negeri Selangor, PERHILITAN Selangor juga menjalankan program pemantauan dan pemuliharaan spesis iaitu program inventori hidupan liar, program kawalan habitat spesies terancam melalui rondaan penguatkuasaan dan program pengayaan habitat melalui penanaman pokok makanan hidupan liar dan jenut tiruan untuk mineral hidupan liar. Untuk program khusus yang dijalankan PERHILITAN Selangor adalah melibatkan spesies Tapir Malaya dan Landak.
    4. Khususnya, bagi meningkatkan populasi Tapir Malaya di Semenanjung Malaysia, antara usaha yang dijalankan oleh Jabatan PERHILITAN adalah program pembiakan Tapir Malaya dalam kurungan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, yang terletak di Hulu Selangor, Selangor.  Pusat ini merupakan satu-satunya pusat pembiakan tapir secara separa liar (semi-wild) di Malaysia dan kemungkinan juga di dunia. Pusat ini telah ditubuhkan pada 1985. Semenjak tahun 2004, pusat ini  menjadi pusat pembiakan, rehabilitasi, rawatan dan penyelidikan bagi spesies Tapir Malaya. PKHL Sungai Dusun menjalankan aktiviti konservasi ex-situ bagi spesies Tapir Malaya yang meliputi pengurusan husbandari, pembiakan, penyelamatan, translokasi, dan penyelidikan. Pada masa kini, terdapat 8 ekor Tapir Malaya di PKHL Sungai Dusun, dan sejak tahun 2004 hingga 2024, sebanyak 20 kelahiran telah dicatatkan.Tapir Malaya ini menjadi sumber dan induk untuk program pembiakan serta akan dilepaskan ke habitat asal bagi memastikan spesies ini tidak mengalami kepupusan.
    5. Khususnya bagi spesies landak pula, PERHILITAN Selangor menjalankan program pembiakan landak raya di Pusat Penyelamat Hidupan Liar Sungai Tengi. Program ini adalah sebagai usaha untuk meningkatkan populasi landak raya bagi tujuan konservasi dan juga komersial.
    6. Usaha pemuliharaan hidupan liar juga perlu disokong dengan tindakan meningkatkan tahap kesedaran awam masyarakat berkaitan konservasi melalui program Communication, Education dan Public Awareness (CEPA) secara berterusan. Oleh yang demikian, Pada 8 Jun 2024 yang lalu,  Y.T.M Raja Muda Selangor telah berkenan melancarkan ikon Alam Sekitar Negeri Selangor iaitu Tapir Malaya yang diberi nama BUMI. Kempen-kempen kesedaran alam sekitar termasuk berkaitan pemuliharaan hidupan liar terancam yang dilaksanakan di Negeri Selangor akan menggunakan BUMI sebagai simbolik dalam kempen-kempen kesedaran dan dalam usaha memulihara sumber biodiversiti.

Lampiran

Tiada Lampiran.