Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
111) HAIWAN LIAR – MASALAH MONYET BERKELIARAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah solusi kepada masalah haiwan liar seperti monyet dan kera yang dilihat berkeliaran di kawasan - kawasan perumahan sehingga boleh menyebabkan gangguan kepada penduduk- penduduk taman perumahan?
Seiring dengan pembangunan yang pesat di negeri Selangor ini, gangguan kera menunjukkan kadar peningkatan setiap tahun dan membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Gangguan hidupan liar ini bukan sahaja tertumpu di kawasan perumahan, kawasan pertanian malahan di kawasan perindustrian yang berhampiran habitat asal hidupan liar ini. Kerajaan melalui Jabatan PERHILITAN Negeri Selangor telah menjalankan pelbagai usaha mitigasi bagi mengatasi masalah gangguan ini seperti pemantauan, pelupusan populasi secara terancang, tembak-halau dan tangkap-pindah.
Sehubungan dengan itu, dalam memastikan spesies hidupan liar ini turut dipulihara secara lestari, tindakan yang diambil oleh Jabatan PERHILITAN perlulah mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan orang ramai yang pelbagai. Langkah yang diambil oleh pihak Jabatan bagi mengawal populasi dan mengatasi aduan gangguan hidupan liar adalah berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kelestarian spesies hidupan liar tersebut:
Tindakan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan PERHILITAN merangkumi:
- Kawalan populasi
Pengawalan populasi kera adalah melalui tindakan penakaian (culling). Ini merupakan kaedah biasa yang diamalkan dalam pengurusan hidupan liar untuk mengurangkan konflik dengan manusia. Dalam konteks konflik dengan kera di kawasan penempatan, penakaian dilakukan untuk mengurangkan jumlah individu yang mendekati kawasan perumahan dan menyebabkan masalah. Kaedah yang dilakukan ialah :
- Perangkap diletakkan dikawasan yang aduan yang bermasalah dan haiwan yang ditangkap akan dibuat penakaian.
- Menjalankan operasi basmi musuh tanaman secara bersepadu. Operasi ini dijalankan dengan diantara Jabatan PERHILITAN dengan melibatkan kerjasama komuniti dan stakeholder di kawasan konflik.
Walau bagaimanapun, penting untuk diingat bahawa penakaian mungkin tidak selalu menjadi penyelesaian yang ideal atau berkesan dalam jangka panjang.
- Tangkap Pindah
Selain penakaian, terdapat kaedah lain yang digunakan untuk menguruskan konflik antara manusia dan hidupan liar, ialah ‘tangkap pindah’ atau pemindahan hidupan liar ke habitat semula jadi yang lebih sesuai. Perangkap khas dipasang dikawasan aduan dan hidupan liar yang berjaya ditangkap ini akan dipindahkan ke kawasan hutan yang lebih luas dan jauh dari penempatan manusia. Bagi menampung jumlah aduan yang semakin meningkat, Jabatan PERHILITAN memperkenalkan inisiatif ‘Perangkap Komuniti’. Melalui inisiatif ini, komuniti dikawasan konflik akan membina dan mengurus perangkap komuniti mereka sendiri menerusi nasihat dan spesifikasi Jabatan PERHILITAN. Pihak Jabatan PERHILITAN akan dihubungi untuk mengambil hiudpan liar yang berjaya masuk perangkap untuk tindakan selanjutnya.
- Pemasangan papantanda amaran.
Diantara punca konflik adalah aktiviti memberi makan kepada hidupan liar seperti kera. Aktiviti memberi makan ini mengubah diet semulajadinya. Tindakan ini menyebabkan hidupan liar ini bergantung sepenuhnya kepada manusia untuk mendapatkan makanan. Sumber makanannya menjadi lebih mudah diperolehi berbanding ia mencari di dalam hutan. Ini menjadikan faktor hidupan liar lebih suka berada di kawasan kediaman berbanding dalam hutan. Jabatan PERHILITAN telah meningkatkan pemasangan papantanda ‘DILARANG MEMBERI MAKAN KEPADA HIDUPAN LIAR’ di beberapa kawasan hotspot pemberian makan kepada hidupan liar oleh orang awam. Papantanda ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan dan akibat aktiviti mereka kepada haiwan tersebut yang akhirnya mencetuskan konflik kepada manusia sekitar.
- Khidmat Nasihat dan Program kesedaran awam
Pengurusan sampah yang tidak sistematik turut menyumbang kepada kehadiran kera ke Kawasan komuniti atau kediaman. Justeru itu, dalam melaksanakan tindakan pengurusan konflik ini, Jabatan PERHILITAN turut memberi khidmat nasihat kepada pengurusan kediaman/ persatuan penduduk agar mengurus dengan baik tempat pengumpulan sampah. Kawasan ini menjadi Kawasan tumpuan utama babi hutan dan kera untuk hadir ke kawasan tersebut dengan lebih kerap jika ia tidak diurus dengan baik dan tertutup.
Program kesedaran awam seperti sesi-sesi dialog bersama Masyarakat setempat, NGO, pihak berkuasa tempatan dan orang awam. Ini bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan keseimbangan ekosistem dan langkah-langkah pencegahan gangguan hidupan liar di kawasan yang terjejas dengan ancaman ini. Kerajaan melalui Jabatan PERHILITAN sentiasa mengalu-alukan pandangan dari pelbagai pihak seperti NGO, pihak berkuasa tempatan, pemaju-pemaju perumahan, masyarakat setempat dalam mencari jalan serta bertukar-tukar pandangan dalam mengatasi masalah gangguan kera ini.
Walau bagaimanapun, bagi tujuan jangka panjang pendekatan lebih proaktif daripada semua pihak adalah diperlukan memandangkan ianya merupakan spesies yang mempunyai kemandirian yang tinggi, mudah membiak serta tinggal berdekatan dengan penempatan manusia bukan sahaja di kawasan-kawasan kampung malah hidup di bandar-bandar besar yang mengancam keselamatan orang ramai.
Usaha dan tindakan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak terutamanya dari masyarakat setempat melalui sesi-sesi dialog dan operasi bersama dengan agensi yang terlibat. Oleh itu, segala tindakan yang dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN adalah secara berhemat dan dilaksanakan dengan berhati-hati agar kesejahteraan orang ramai terjamin di samping menjaga kelestarian hidupan liar di negeri Selangor.
-
Apakah proses koordinasi antara pengadu dengan agensi yang terlibat seperti PERHILITAN memandangkan sesetengah kakitangan jabatan atau agensi tersebut sangat terhad?
Seiring dengan pembangunan yang rancak di negeri Selangor ini, gangguan kera menunjukkan kadar peningkatan setiap tahun dan membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Peningkatan jumlah aduan yang diterima saban tahun menjadi cabaran kepada Kerajaan Negeri dalam menangani konflik hidupan liar ini. Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan PERHILITAN telah dipertanggung jawab sepenuhnya melaksanakan langkah – langkah mitigasi bagi mengurangkan kacau ganggu hidupan liar ini.
Jabatan PERHILITAN menggalas tanggungjawab melaksanakan segala langkah mitigasi ini berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dimana pengurusan kawalan hidupan liar ini perlulah mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan orang ramai yang pelbagai.
Proses koordinasi Jabatan dan pengadu bermula dengan penerimaan aduan daripada orang ramai oleh Jabatan PERHILITAN sehinggalah penyelesaian masalah aduan tersebut. Aduan-aduan yang diterima perlu ditapis dan dikenalpasti terlebih dahulu matlumat yang diterima supaya tindakan yang bersesuaian mengikut lokaliti dapat dilaksanakan. Selanjutnya, kakitangan Jabatan PERHILITAN ke lokasi aduan dan menilai kesesuaian tindakan dengan mengambilkira pertimbangan sekeliling. Sekiranya melibatkan aduan kacau ganggu yang memerlukan masa untuk diselesaikan, Jabatan PERHILITAN akan menjalankan proses pemantauan berterusan dengan pelaksanaan pemasangan perangkap mengikut kesesuaian lokasi dan proses tangkap pindah selanjutnya dijalankan.
Untuk itu, kaedah-kaedah praktikal dan berhemah seiring dengan keperluan dan kehendak orang ramai adalah dijalankan oleh Jabatan PERHILITAN sepenuhnya di samping memulihara spesies hidupan liar ini secara lestari.