Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

306) HAIWAN LIAR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri dan jabatan tertentu untuk membendung masalah haiwan liar seperti monyet, kera, anjing liar, dan babi hutan yang mengganggu keselamatan dan merosakkan harta benda di kampung-kampung DUN Sungai Air Tawar?

    Kerajaan melalui Jabatan PERHILITAN Negeri Selangor telah  menjalankan pelbagai usaha mitigasi bagi mengatasi dan mengurangkan jumlah aduan daripada orang ramai yang diterima setiap hari dengan kaedah-kaedah seperti pemantauan, pelupusan populasi secara terancang, tembak-halau dan tangkap-pindah. Seiring dengan pembangunan yang pesat di negeri Selangor ini, gangguan kera menunjukkan kadar peningkatan setiap tahun dan membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Gangguan hidupan liar ini bukan sahaja tertumpu di kawasan-kawasan pertanian malah di kawasan perumahan dan perindustrian yang berhampiran habitat asal hidupan liar ini.

     

    Sehubungan dengan itu, dalam memastikan spesies hidupan liar ini dipulihara secara lestari, tindakan yang diambil oleh Jabatan PERHILITAN turut mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan orang ramai yang pelbagai. Langkah yang diambil oleh pihak Jabatan bagi mengawal populasi dan mengatasi aduan gangguan hidupan liar seperti berikut adalah berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kelestarian spesies hidupan liar tersebut :

     

    1:      Mengawal populasi konflik dengan menjalankan tindakan penakaian (culling) yang merupakan kaedah biasa yang diamalkan dalam pengurusan hidupan liar. Kaedah ini digunapakai bagi mengawal populasi melalui pengurangan secara terkawal spesies konflik yang mendatangkan aduan gangguan yang tinggi. Ini bagi mengelakkan kelimpahan populasi spesies berkenaan yang boleh mendatangkan kemusnahan dan menjadi ancaman kepada keselamatan orang awam. Kaedah yang dilaksanakan dibawah tindakan ini adalah seperti berikut:

     

    1.1 :Bagi spesies konflik seperti kera dan babi hutan, kelompok yang bermasalah dan sering mendatangkan gangguan yang serius termasuk menjadi ancaman keselamatan kepada orang awam akan disuntik secara humane seterusnya dilupuskan melalui cara incineration.

     

    1.2 :Menjalankan operasi basmi musuh tanaman bersama penduduk setempat dan stakeholder yang terlibat melalui kerjasama kerjasama yang dijalankan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat semasa menjalani operasi tersebut.

     

    1. Kajian populasi berkaitan taburan serta anggaran populasi kera antaranya dalam menentukan pengkelasan lokasi konflik kera serta tahap keseriusan zon bagi penyelarasan tindakan yang perlu diambil oleh pihak jabatan. Menerusi inventori, bilangan kera yang berlebihan akan dihapuskan bagi memastikan keupayaan tampung kawasan hijau tersebut tidak diganggu.

     

    1. Selain dari itu, pihak jabatan dari masa ke semasa mencuba kaedah keberkesanan pengawalan melalui rekaan-rekaan inovasi terutamanya rekacipta perangkap yang boleh digunakan untuk memerangkap bilangan kera dengan banyak disamping menjimatkan kos dan masa.

     

    1. Usaha-usaha kempen kesedaran awam bagi menyedarkan orang ramai tentang pentingnya mengekalkan habitat yang bersesuaian keluasannya di kawasan perbandaran atau penempatan bagi menempatkan kera-kera ini. Kempen-kempen boleh dijalankan sama ada menerusi media massa, media cetak dan memasang papan tanda ditempat-tempat yang bersesuaian. Dengan itu, diharapkan akan wujud konsep hidup harmoni dengan hidupan liar di kalangan penduduk setempat yang berkenaan.

     

    Walau bagaimanapun, bagi tujuan jangka panjang pendekatan lebih proaktif daripada semua pihak adalah diperlukan memandangkan ianya merupakan spesies yang mempunyai kemandirian yang tinggi, mudah membiak serta tinggal berdekatan dengan penempatan manusia bukan sahaja di kawasan-kawasan kampung malah hidup di bandar-bandar besar yang mengancam keselamatan orang ramai. Usaha dan tindakan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak terutamanya dari masyarakat setempat melalui sesi-sesi dialog dan operasi bersama dengan agensi yang terlibat. Oleh itu, segala tindakan yang dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN adalah secara berhemat dan dilaksanakan dengan berhati-hati agar kesejahteraan orang ramai terjamin di samping menjaga kelestarian hidupan liar di negeri Selangor.

    Melalui peruntukan direct grant di bawah Projek dan Program Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor permohonan pihak Jabatan telah diluluskan dan disalurkan perbelanjaan sejumlah RM 146,527.00 pada tahun 2021 bagi tujuan pelaksanaan program kawalan konflik hidupan liar. Bagi tujuan itu, pihak Jabatan telah melaksanakan beberapa projek antaranya penambahan bilangan perangkap, ubat-ubatan terkawal dan peralatan kelengkapan pengurusan kawalan dimana melibatkan sejumlah 7151 jumlah aduan dan tindakan di negeri Selangor. Manakala di peringkat persekutuan, pihak Jabatan telah menerima sejumlah RM 268,832.25 di bawah waran pembangunan di bawah program Kawalan, Tangkapan dan Mitigasi Hidupan Liar di semenanjung Malaysia bagi tahun 2022 melibatkan perbelanjaan perolehan bagi pemantapan pengurusan konflik hidupan liar di seluruh negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.