Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

67) HAIWAN LIAR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sub-soalan telah di tolak

  2. Apakah kaedah atau cara yang berkesan untuk membendung dan menyelesaikan masalah ini?

    Seiring dengan pembangunan yang rancak di negeri Selangor ini, gangguan kera menunjukkan kadar peningkatan setiap tahun dan membimbangkan sejak akhir- akhir ini. Peningkatan jumlah aduan yang diterima saban tahun menjadi cabaran kepada Kerajaan Negeri dalam menangani konflik hidupan liar ini oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan PERHILITAN telah menjalankan pelbagai inisiatif dan langkah pengawalan. bagi mengatasi masalah gangguan hidupan liar ini. Berikut merupakan punca-punca peningkatan aduan yang mempengaruhi pengurusan kera di negeri Selangor:

    1. Kehilangan habitat

    Pembangunan yang pesat diseluruh semenanjung Malaysia telah menyebabkan kebanyakan kawasan berhutan dibuka untuk aktiviti-aktiviti perladangan, penempatan penduduk dan perindustrian. Ini telah memberi kesan lansung kepada pemasalahan kera di mana kera-kera ini tidak lagi mempunyai tempat untuk berlindung dan mencari makan. Sebagai alternatif, kera-kera ini terpaksa berhijrah ke kawasan yang berhutan kecil dan kadangkala terkepung oleh taman-taman perumahan.

    1. Sikap segelintir penduduk dan pelancong

    Sikap segelintir penduduk dan pelancong yang gemar memberi makan kepada ker-kera di taman-taman bunga atau di kawasan berhampiran dengan taman perumahan, telah menggalakan lagi perkembangan populasi kera dan menjadikan ia tidak takut kepada manusia. Masalah akan mula timbul apabila kelaziman mendapatkan makanan daripada manusia tidak diperolehi dan ini akan mendorong kera-kera bertindak liar dan adakalanya menyerang manusia.

    1. Survival spesies/Kemandirian Spesies Kera

    Kebolehan adaptasi di mana-mana kawasan serta tahad kemandirian spesies  dan kadar pembiakan yang tinggi menyebabkan hidupan liar ini boleh hidup dalam kelompok masyarakat manusia walaupun mempunyai sumber makanan yang terhad.

    1. Pembuangan sampah

    Tabiat membuang sampah merata-rata, membuang sampah ditempat yang tidak sepatutnya dan tong-tong sampah yang tidak tertutup rapat juga menyebabkan kera-kera ini mencari mankan ditempat tersebut. Tindakan kera-kera ini telah menyebabkan kekotoran di kawasan sekitar tempat pembuangan sampah tersebut.

    1. Pembangunan tanpa menambilkira hidupan liar

    Dalam kerancakan pembangunan di seluruh negara seringkali komponen hidupan liar tidak diambilkira dan pemaju bebas membuka sesuatu kawasan tanpa menghiraukan kehadiran populasi kera di kawasan terbabit. Ini menyebabkan kera-kera tersebut tidak mempunyai pilihan untuk terus tinggal di kawasan yang akan dibangunkan dan terpaksa berpindah atau menimbulkan gangguan di kawasan berhampiran. Kebanyakan pihak pentadbiran daerah juga tidak membuat perbincangan terlebih dahulu dengan Jabatan PERHILITAN apabila mahu membangunkan sesuatu kawasan penempatan baru yang mana di dalamnya terdapat populasi kera yang tinggi. Jika kerjasama dapat dijalankan dengan lebih awal sebelum sesuatu projek dijalankan, program tangkapan pindah atau mitigasi yang bersesuaian akan dapt diambil.

    1. Tanah terbiar

    Kawasan yang ingin dibangunkan terutamanya untuk tujuan pertanian di kawasan luar bandar sering tergendala disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan modal, tiada tenaga kerja dan sebagainya. Ini menyebabkan kawasan tersebut terbiar dan menjadi belukar dan seterusnya menjadi habitat yang amat sesuai untuk kera-kera tinggal. Ini telah menimbulkan banyak masalah terutamanya kepada penduduk- penduduk lain yang mengusahakan tanah mereka. Seringkali pengusaha pertanian menjadi mangsa apabila tanah pertanian bersebelahan tidak diusahakan dan menjadi tempat habitat kera.

    1. Kurang kerjasama daripada pengadu

    Kurangnya kerjasama daripada pengadu untuk sama-sama memantau perangkap yang telah dipasang juga merupakan satu isu. Ini adalah kerana perangkap yang dipasang diperbuat daripada besi dan terdedah kepada risiko kecurian. Seringkali juga berlaku umpan yang telah rosak atau habis tidak diganti oleh pengadu dan menyebabkan kera-kera tidak masuk kedalam perangkap. Kebiasaannya pihak jabatan PERHILITAN hanya menyediakan umpan pada hari pertama sahaja dan untuk hari-khari berikutnya bergantung kepada inisiatif pengadu. Kadang-kala apabila telah banyak kera terperangkap, pengadu tidak memaklumkan kepada Jabatan PERHILITAN untuk tindakan susulan menyebabkan kera-kera tersebut kelaparan dan bergaduh sesama sendiri. Terdapat juga pengadu yang tidak mesra dengan kakitangan PERHILITAN serta tidak melayan kehadiran kakitangan yang ingin menjalankan tugas di kawasan mereka. Malah menjadi lumrah sesetengah pengadu yang ingin aduan mereka diberikan keutamaan walaupun mengetahui terdapat juga kes-kes aduan yang lebih serius yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu.

    1. Sikap pemilik kera

    Terdapat juga kes-kes gangguan di mana kera yang terlibat merupakan haiwan peliharaan individu tertentu. Disebabkan kera tersebut telah mula bertindak liar dan tidak terkawal, pemilik yang bertanggungjawab ini telah melepaskan kera tersebut. Ini menyebakan kera tersebut bertindak liar terhadap orang ramai yang terserempak denganya untuk mencari makanan.

    1. sikap segelintir pencinta alam

    Terdapat kejadian di mana segelintir pencinta alam yang melepaskan semula kera-kera yang telah terperangkap telah menyebabkan gangguan di sekitar kawasan terlibat tidak dapat diselesaikan dengan segera. Adakalanya mereka menghalang kakitangan Jabatan PERHILITAN supaya tidak mengambil tindakan menangkap atau tembak mati walaupun berlaku kes gangguan yang serius di kawasan tertentu. Namun begitu, kebiasaanya apabila mereka sendiri yang mengalami masalah gangguan kera, mereka akan akur dengan apa sahaja tindakan yang akan diambil oleh Jabatan PERHILITAN.

    Antara langkah-langkah yang diambil oleh pihak Jabatan bagi mengawal populasi dan mengatasi aduan gangguan hidupan liar seperti berikut adalah berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kelestarian spesies hidupan liar tersebut :

    • Mengawal populasi konflik dengan menjalankan tindakan penakaian (culling) yang merupakan kaedah biasa yang diamalkan dalam pengurusan hidupan liar. Kaedah ini digunapakai bagi mengawal populasi melalui pengurangan secara terkawal spesies konflik yang mendatangkan aduan gangguan yang tinggi. Ini bagi mengelakkan kelimpahan populasi spesies berkenaan yang boleh mendatangkan kemusnahan dan menjadi ancaman kepada keselamatan orang awam. Kaedah yang dilaksanakan dibawah tindakan ini adalah seperti berikut:
    • Tangkap hapus dimana perangkap diletakkan dikawasan yang aduan yang bermasalah dan haiwan yang ditangkap akan dikurangkan melalui suntikan secara humane. Menjalankan operasi basmi musuh tanaman bersama penduduk setempat dan stakeholder yang terlibat melalui kerjasama-kerjasama yang dijalankan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat semasa menjalani operasi tersebut. Antara lain pengawalan secara tangkap pindah dimana spesies konflik tersebut akan ditangkap menggunakan perangkap pindah dan memindahkan ke kawasan hutan yang lebih luas dan jauh dari penempatan manusia.

    Antara usaha-usaha strategi pengurusan konflik hidupan liar ini sebelum tindakan penakaian dijalankan adalah menerusi inventori menyeluruh populasi kera di kawasan yang bermasalah. Selain dari itu, pihak jabatan dari masa ke semasa mencuba kaedah keberkesanan pengawalan melalui rekaan-rekaan inovasi terutamanya rekacipta perangkap yang boleh digunakan untuk memerangkap

    bilangan kera dengan banyak disamping menjimatkan kos dan masa. Melalui peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN Negeri Selangor, pada tahun ini, pelbagai program kawalan seperti Operasi Basmi Musuh Tanaman yang dijalankan sebanyak 23 kali aktiviti, Program Tangkapan Kera Swasta yang mencatatkan tangkapan kera sebanyak 3443 ekor kera serta pelupusan kera termasuk tangkap pindah kera sebanyak 9296 ekor kera sehingga September 2018 yang dicatatkan.

    Usaha dan tindakan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak terutamanya dari masyarakat setempat melalui sesi-sesi dialog dan operasi bersama dengan agensi yang terlibat. Isu-isu yang mempengaruhi pengurusan konflik hidupan liar perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak. Kerajaan melalui Jabatan PERHILITAN sentiasa mengalu-alukan pandangan dari pelbagai pihak seperti NGO, pihak berkuasa tempatan, pemaju-pemaju perumahan, masyarakat setempa dalam mencari jalan serta bertukar-tukar pandangan dalam mengatasi masalah gangguan kera ini. Ini penting dalam perlaksanaan langkah kawalan yang lebih proaktif untuk jangka masa panjang.

    Seiring itu,dalam memastikan spesies hidupan liar ini dipulihara secara lestari, pihak Jabatan bertanggungjawab mengambil sebarang tindakan yang praktikal bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat terpelihara dari sebarang ancaman yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Langkah-langkah pengurusan yang diambil oleh pihak Jabatan mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan orang ramai yang pelbagai. Oleh itu, kaedah-kaedah praktikal dan berhemah seiring dengan keperluan dan kehendak orang ramai adaah dijalankan oleh Jabatan PERHILITAN di samping memulihara spesies hidupan liar ini secara lestari.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.