Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

167) HADIAH RM1,000 ANAK MASUK UNIVERSITI

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah program ini berjaya merakyatkan ekonomi kepada golongan miskin?

    1. Program Hadiah Pengajian IPT Kerajaan Negeri Selangor (Hadiah Anak Masuk Universiti) merupakan salah satu kemudahan yang ditawarkan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Program bantuan yang berupa sumbangan insentif berjumlah RM1,000 disediakan bertujuan khusus untuk membantu anak-anak Negeri Selangor yang kurang berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

     

    Bantuan tersebut merupakan satu kemudahan kepada pelajar sebelum mereka memperolehi sumber kewangan dari pihak penaja untuk mengikuti pengajian dalam bidang yang dipilih. Bantuan berkenaan juga mampu meringankan beban tanggungan ibu bapa/ penjaga pelajar bagi menampung kos perbelanjaan pelajar semasa di universiti kelak. Bantuan ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi menunaikan tanggungjawab sosial terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor, terutamanya dari golongan mahasiswa IPT.

  2. Berapa ramaikah anak Selangor yang telah mendapat manfaat daripada program ini?

    1. Setakat 31 Mac 2010, sebanyak 15,792 permohonan telah diterima daripada pelajar untuk mendapatkan insentif berjumlah RM1,000 berkenaan. Daripada jumlah tersebut, hanya 11,146 pemohon (70.58%) sahaja yang didapati layak untuk dipertimbangkan bagi menerima insentif tersebut, manakala 4,646 (29.42%) permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat sepertimana yang telah ditetapkan seperti di atas. Semenjak berkuat kuasa pelaksanaan program tersebut, Kerajaan Negeri  telah  membelanjakan kos berjumlah 14 juta bagi membiayai program ini.

     

  3. Apakah kerajaan bercadang untuk tidak mengenakan pendapatan RM1,500 sebulan sebagai syarat layak menerima manfaat daripada program ini?

    1. Program Hadiah Pengajian IPT Kerajaan Negeri Selangor telah mula dilaksanakan berkuat kuasa pada 1 Julai 2008. Melalui program ini, pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT akan diberi insentif berjumlah RM1,000 berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut:

     

    1. Permohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja;

     

    1. Pemohon juga merupakan Rakyat D.Y.M.M. Sultan Selangor yang memenuhi kriteria seperti berikut:
      • Pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
      • Ibu atau Bapa pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
      • Pemohon lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974;

     

    • Pemohon telah ditawarkan tempat untuk memasuki Tahun Pertama (Semester Pertama) mulai Julai 2008 sahaja;

     

    1. Pemohon telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa (full-time courses) di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana muda dan Diploma sahaja;

     

    1. Pemohon telah pun mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi pengajian; dan

     

    1. Pemohon daripada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah.

     

    Berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 31/2009 bertarikh 30 September 2009, mesyuarat telah menimbang dan mengekalkan syarat kelayakan permohonan HPIPT bagi perkara seperti pada para (vi) di atas.

     

    Perkara ini adalah selaras dengan tujuan pemberian bantuan tersebut, iaitu bagi membantu anak-anak Negeri Selangor yang kurang berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi. Selain itu juga, penetapan syarat tersebut adalah berdasarkan kepada penetapan garis kemiskinan Negeri Selangor, iaitu pendapatan   di bawah RM1,500.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.