Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011
120) HADIAH MASUK UNIVERSITI
Tahun: 2011
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kerajaan negeri menyediakan bajet RM 7.7 juta untuk skim Hadiah Anak Masuk Universiti tahun 2011. Setakat ini berapa orangkah yang telah menerima hadiah skim ini dan kos yang dikeluarkan?
- Setakat 28 Februari 2011, sebanyak 25,455 permohonan telah diterima daripada pelajar untuk mendapatkan insentif berjumlah RM1,000 sepertimana yang ditawarkan. Daripada jumlah tersebut, hanya 18,673 permohonan sahaja yang didapati layak untuk dipertimbangkan bagi menerima insentif tersebut, manakala 6,782 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat sepertimana yang telah ditetapkan. Semenjak berkuat kuasa pelaksanaan program tersebut iaitu dari tahun 2008, Kerajaan Negeri telah membelanjakan kos berjumlah 6 juta bagi membiayai program ini.
-
Bagaimanakah proses pemilihan dilakukan?
- Proses pemilihan bagi Permohonan Hadiah Pengajian IPT Kerajaan Negeri Selangor adalah berdasarkan syarat-syarat kelayakan permohonan seperti berikut:
- Pemohon adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja;
- Pemohon juga merupakan Rakyat D.Y.M.M Sultan Selangor yang memenuhi kriteria seperti berikut:
- Pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
- Ibu atau Bapa pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
- Pemohon lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974;
- Pemohon telah ditawarkan tempat untuk memasuki Tahun Pertama (Semester Pertama) mulai Julai 2008 (sesi pengajian 2008/2009) sahaja;
- Pemohon telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa (full-time courses) di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sahaja;
- Pemohon telah pun mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi pengajian; dan
- Pemohon daripada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah.
Setiap permohonan yang diterima akan melalui beberapa proses semakan bagi memastikan permohonan tersebut adalah lengkap dan memenuhi setiap syarat yang telah ditetapkan. Permohonan yang didapati lengkap dan layak sahaja akan dibuat bayaran secara EFT (Electronic Funds Transfer) ke akaun pemohon atau melalui cek. Manakala bagi permohonan yang tidak lengkap, urus setia akan mengembalikan borang permohonan tersebut untuk dilengkapkan oleh pemohon dan seterusnya mengembalikan semula kepada pihak urus setia untuk diproses.