Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
68) HAB HIBURAN ANTARABANGSA
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Selangor untuk menjadikan negeri ini sebagai hab hiburan kreatif antarabangsa?
Selaras dengan pengumuman YAB. Dato’ Menteri Besar semasa pembentangan bajet 2024, sejumlah RM1 juta telah diperuntukkan bagi memperkasa industri ekonomi kreatif di Selangor. Sehubungan ini, Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk menganjurkan Simposium Industri Kreatif yang membabitkan penggiat industri kreatif di Negeri Selangor pada bulan April 2024. Simposium ini bertujuan untuk mendapatkan cadangan dan mendengar pandangan pemegang taruh dan pemain industri. Melalui simposium ini, Kerajaan Negeri akan meneliti dan merangka program yang bersesuaian berdasarkan keperluan penggiat seni industri kreatif. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan universiti tempatan yang berada di Selangor seperti Universiti Multimedia (MMU), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) yang mempunyai kepakaran masing-masing dalam bidang industri kreatif seperti drama, musik, seni persembahan, seni visual, animasi, pereka fesyen dan sebagainya.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga menawarkan bantuan Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) dalam bentuk mesin atau peralatan sehingga RM30,000.00 untuk membantu usahawan merentasi semua sektor termasuk sektor Industri Kreatif bagi melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.