Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
163) HAB HALAL
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bila dan di manakah sebuah Halal Hab di peringkat negeri akan dibangunkan?
Pasaran produk halal adalah terbuka luas dan Kerajaan Negeri menyedari akan keperluan menubuhkan Hab Halal peringkat negeri dan seterusnya membantu perkembangan ekonomi Negeri Selangor.
Sebuah Halal Hab di peringkat negeri Selangor telah dibangunkan dan telah beroperasi secara rasmi pada tahun 2003 iaitu Selangor Halal Hab Pulau Indah (SHHPI) yang terletak di Pulau Indah. Ianya merupakan satu kawasan industry yang kondusif untuk pengeluaran produk Halal dan juga salah satu Halal Hab yang pertama diwujudkan di Malaysia bagi aktiviti industri huluan dan industri hiliran (up-stream and downstream).
Secara keseluruhan, kawasan ini berkeluasan 1,000 ekar untuk dibangunkan dengan kilang berteknologi tinggi dan moden bagi memenuhi peningkatan permintaan produk halal daripada pasaran tempatan dan antarabangsa. Di dalam fasa 1, terdapat 10 pelabur telah melabur di SHHPI dengan nilaian pelaburan berjumlah RM1,050 juta bagi pengeluaran produk Halal seperti barangan berasaskan minyak sawit, makanan beku, kek, makanan kering dan produk herba. Manakala di dalam fasa 2, 12 pelabur telah turut serta melabur di SHHPI dengan nilai pelaburan berjumlah RM1,895 juta . Seterusnya, pembangunan SHHPI bagi fasa 3 akan melibatkan baki 300 ekar yang dalam perancangan untuk dibangunkan.
-
Adakah pembangunan dan pengendaliannya terus di bawah jabatan Kerajaan Negeri ataupun di bawah MBI?
Pada masa kini, terdapat 2 Halal Hab yang telah wujud dan beroperasi di Negeri Selangor iaitu PKFZ Flagship Halal Zone dan Selangor Halal Hub, Pulau Indah. Port Klang Free Zone (PKFZ) merupakan satu pusat pengedaran kargo antarabangsa dan penyatuan bersepadu dengan keluasan 1,000 ekar yang berada di Pulau Indah, Port Klang dan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA). Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) juga telah memberi tanggungjawab kepada Central Spektrum (M) Sdn. Bhd. bagi membangunkan Selangor Halal Hub di kawasan perindustrian seluas 1,000 ekar tanah di Pulau Indah, Port Klang.
-
Pihak manakah yang akan memberi akreditasi dan persijilan bagi produk-produk tersebut?
Pembangunan halal hab adalah di bawah seliaan Halal Industry Development Corporation (HDC) bagi memudahkan status pembangunan dan menyediakan status HALMAS. HALMAS merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada pengendali Kawasan Industri Halal (Halal Park) yang telah mematuhi kesemua peraturan dan keperluan yang telah ditetapkan di bawah HDC bagi pembangunan Kawasan Industri Halal (Halal Park). Sekiranya HALMAS status diperolehi, pengendali hab halal, industri dan pengendali logistik layak untuk memohon insentif yang diberikan HDC dan Kementerian Kewangan dalam membantu ahli-ahli sedia ada dan bakal ahli di dalam industri Halal.
Melalui Persijilan Halal Negeri Selangor kelak, ianya merupakan suatu pengiktirafan yang menunjukkan kehalalan sesuatu hasil makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam berasaskan kepada hukum Syarak yang diamalkan dalam negeri Selangor. Ini bertujuan untuk mengatasi kekeliruan dan keraguan yang timbul di kalangan pengguna Islam berkaitan dengan kehalalan atau kesucian sesuatu makanan, minuman dan bahan gunaan yang dikeluarkan dalam negeri ini. Oleh itu, ia perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan Premis yang membuat penyediaan / pemprosesan / masakan makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan semua pengusaha makanan,bahan gunaan dan pihak yang berkaitan yang dapat memenuhi kriteria-kriteria halal yang telah ditetapkan dalam ” Garis Panduan” berkenaan layak untuk memohon Sijil Persijilan Halal Negeri Selangor.