Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
116) HAB HALAL
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah visi dan matlamat penubuhan Hab Halal ini?
Kerajaan Negeri Selangor mengambil perhatian akan peningkatan permintaan terhadap produk-produk Halal bukan sahaja daripada penduduk tempatan bahkan juga daripada luar negara. Justeru, Kerajaan Negeri menyedari akan keperluan menubuhkan Hab Halal peringkat negeri dan seterusnya membantu perkembangan ekonomi Negeri Selangor.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah melihat ke arah hadapan dengan mewujudkan visi dan matlamat penubuhan Hab Halal iaitu bagi mewujudkan satu pusat sehenti bagi produk-produk halal melalui pengenalan eko-sistem Halal yang membolehkan penubuhan operasi yang lancar dan mengurangkan masa menunggu serta memastikan amalan dan prosedur yang ringkas dalam menjalankan perniagaan seperti makanan dan minuman, produk kecantikan dan farmaseutikal serta bahan-bahan mentah.
Melalui Persijilan Halal Negeri Selangor kelak, ianya merupakan suatu pengiktirafan yang menunjukkan kehalalan sesuatu hasil makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam berasaskan kepada hukum Syarak yang diamalkan dalam negeri Selangor. Ini bertujuan untuk mengatasi kekeliruan dan keraguan yang timbul dikalangan pengguna Islam berkaitan dengan kehalalan atau kesucian sesuatu makanan, minuman dan bahan gunaan yang dikeluarkan dalam negeri ini. Oleh itu, ia perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan Premis yang membuat penyediaan / pemprosesan / masakan makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan semua pengusaha makanan,bahan gunaan dan pihak yang berkaitan yang dapat memenuhi kriteria-kriteria halal yang telah ditetapkan dalam ” Garis Panduan” berkenaan layak untuk memohon Sijil Persijilan Halal Negeri Selangor.
-
Apakah manfaat sosioekonomi untuk rakyat?
Selari dengan jumlah penduduk Islam di dunia yang mencapai 1.6 billion orang dan 60 peratus penduduk di Asia pada tahun 2010 telah menyaksikan peningkatan permintaan yang meluas terhadap produk-produk halal dan seterusnya telah merubah lanskap perniagaan Halal. Pasaran produk-produk halal telah berjaya meraih peningkatan pendapatan yang menggalakkan di peringkat global seperti di United Kingdom dengan nilai penjualan daging halal bernilai USD900 juta. Di Malaysia sendiri, pasaran produk-produk makanan Halal telah mencatat pendapatan sehingga US10 bilion.
Melihat kepada perkembangan semasa potensi dan permintaan produk makanan halal di dunia, ia dijangkakan terus meningkat. Kesannya banyak negara berlumba-lumba menawarkan diri menjadi pengeluar produk makanan halal dunia termasuklah negara jiran, Singapura. Oleh itu, Negeri Selangor sebagai salah sebuah negeri yang maju dan penyumbang utama kepada pendapatan Malaysia telah mengambil satu langkah ke hadapan bagi menjadi sebuah Halal Hab yang unggul di Malaysia dan Asia.
Pada masa kini, terdapat 2 Halal Hab yang telah wujud dan beroperasi di Negeri Selangor iaitu PKFZ Flagship Halal Zone dan Selangor Halal Hub, Pulau Indah. Port Klang Free Zone (PKFZ) merupakan satu pusat pengedaran kargo antarabangsa dan penyatuan bersepadu dengan keluasan 1,000 ekar yang berada di Pulau Indah, Port Klang dan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA). Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) juga telah memberi tanggungjawab kepada Central Spektrum (M) Sdn. Bhd. bagi membangunkan Selangor Halal Hub di kawasan perindustrian seluas 1,000 ekar tanah di Pulau Indah, Port Klang.
Pembangunan kedua-dua Halal hab tersebut secara tidak langsung telah menyumbang kepada sosioekonomi Negeri Selangor di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Melalui penubuhan halal hab tersebut, ianya juga telah menarik minat dan membantu peniaga-peniaga bumiputera serta menawarkan perkongsian kemudahan termasuk pusat penyimpanan dan perniagaan.
Melalui pembangunan halal hab, ianya dapat memberikan peluang bukan sahaja sebagai pengeluar malah usahawan Muslim boleh turut menceburkan diri sebagai pemasar, pemborong, pengedar, peruncit, pembekal dan juga sebagai penyedia makanan halal, biarpun bersaiz kecil.