Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

146) GUGUSAN PENDIDIKAN DI DAERAH GOMBAK

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status pelan tindakan Kerajaan Negeri untuk memartabatkan Daerah Gombak sebagai gugusan pendidikan Negeri Selangor? Apakah pencapaian yang telah dicapai?

    Untuk makluman bersama, pada tahun 2018 Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan pembentukan kluster pembangunan ekonomi di negeri Selangor berdasarkan keutamaan atau kelebihan sesuatu lokaliti atau kawasan. Antara kluster atau gugusan yang dicadangkan termasuklah kluster pendidikan yang mana akan ditumpukan kepada Daerah Gombak dan Hulu Langat yang mempunyai pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Kerajaan Negeri akan berusaha mengoptimumkan idea dan gagasan kluster pendidikan tinggi di Negeri Selangor termasuklah di dua daerah berkenaan. Ia juga diinspirasikan daripada Boston, Amerika Syarikat dan dinamakan sebagai ‘The Boston of Malaysia’ atau Hub Pendidikan Internasional Boston. Walau bagaimanapun, fokus pada masa kini adalah di Bandar Ilmu Bandar Putra Mahkota, Daerah Hulu Langat. Kerajaan Negeri telah menyediakan satu pelan tindakan melibatkan semua pihak selain memberi impak dalam pembangunan pendidikan, penyelidikan, ekonomi dan sosial. Gugusan Pendidikan ini telah menyediakan satu ekosistem pendidikan yang komprehensif berteraskan kepada keperluan industri memandangkan kawasan persekitaran iaitu dalam lingkungan 10 kilometer radius sekitar Universiti Islam Selangor terdapat banyak pusat pengajian tinggi dan penyelidikan serta komuniti golongan ilmuan yang dapat menjayakan program keilmuan bersama.

    Untuk tindakan tersebut Kerajaan Negeri merancang memastikan ekosistem pendidikan sedia ada berteraskan kepada keperluan dan kehendak industri dengan melibatkan institusi pendidikan, penyelidikan dan industri dan lain-lain agensi Kerajaan dan swasta dengan melibatkan sokongan daripada agensi di bawah Kerajaan Negeri. Selain itu, Kerajaan Negeri juga menggalakkan penyelidikan dan inovasi di kawasan gugusan pendidikan yang berteraskan kepada lima (5) bidang iaitu Food & Beverages (F&B), Aerospace, Machinery & Equipment, Electrical & Electronic (E&E) dan Life Sciences.

    Pelbagai program yang bermanfaat telah dilaksanakan bermula tahun 2019 antaranya program bertemakan pendidikan, kemasyarakatan, ekonomi, sosial, sains dan teknologi dan lain-lain. Gugusan Pendidikan ini telah memberi manfaat kepada banyak pihak. Disamping dapat menjalinkan ukhwah, ia juga dapat mewujudkan satu ekosistem positif terhadap pendidikan di mana banyak program dan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan formal dan tidak formal bermula dari usia kanak-kanak sehingga dewasa yang juga dikenali dengan program pembelajaran sepanjang hayat dan memastikan kadar kebolehpasaran graduan dari lokaliti ini meningkat.

    Walau bagaimanapun, sehingga kini perancangan melanjutkan Gugusan Pendidikan ke Daerah Gombak sedang diperkemaskan dan fokus Gugusan Pendidikan ini masih lagi di Bandar Ilmu Bandar Putra, Daerah Hulu Langat. Kerajaan Negeri komited dalam menjayakan program-program pendidikan yang melibatkan seluruh warga Negeri Selangor dan sentiasa berfikir ke hadapan dalam mewujudkan ekosistem pendidikan yang stabil, menyeluruh dan berdaya saing di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Lampiran

Tiada Lampiran.