Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

21) GREATER KL

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohamad Khir Bin Toyo

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Projek Greater KL yang bernilai berbilion ringgit telah melancarkan Kerajaan Persekutuan yang antaranya meliputi pembangunan kawasan Lembangan Sungai Klang. Apakah Greater KL menepati perancangan kerajaan negeri sebelum ini?

    Negeri Selangor merupakan di antara negeri yang membangun di Malaysia dan ia dianggarkan telah menyumbang sebanyak 30% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Negeri Selangor juga dianggarkan telah menyumbang sebanyak 25% daripada cukai yang telah dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. Kadar populasi di Negeri Selangor adalah sebanyak 5.1 juta di mana ia merupakan penyumbang terbesar di dalam populasi Malaysia iaitu sebanyak 18.1% berbanding dengan lain-lain negeri. Ini menunjukkan bahawa Negeri Selangor mempunyai kawasan yang terbesar di Malaysia. Oleh itu, secara tidak langsung Negeri Selangor akan memberikan keuntungan dan pulangan yang besar di dalam Projek Greater Kuala Lumpur/Klang Valley (KL/KV) ini memandangkan penumpuan kawasan yang akan diberikan di Negeri Selangor. Maka perancangan Kerajaan Negeri dan Greater KL/KV ini adalah selari dalam memastikan pembangunan ekonomi Malaysia yang dapat dijanakan oleh pembangunan ekonomi Negeri Selangor. Perkara ini dapat dibuktikan melalui penglibatan Kerajaan Negeri Selangor di dalam beberapa projek Greater KL/KV yang telah dirangka. Antaranya adalah Projek River of Life (RoL), Mass Rapit Transit (MRT), Invest KL dan sebagainya seperti yang telah dirancang.

  2. Bagaimanakah kerajaan negeri dapat bersama untuk menjayakan hasrat tersebut?

    Di dalam melaksanakan Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) Greater KL/KV ini, Kerajaan Negeri Selangor telah dijemput menganggotai jawatankuasa pemandu ( Steering Committee ) Greater KL/KV di mana ia melibatkan keanggotaan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Ahli Jawatankuasa. Antara lain termasuklah pembinaan fasa pertama Aliran Transit Massa (MRT) yang melibatkan laluan Sungai Buloh ke Kajang sejauh 60 kilometer, mengkoordinasikan projek pengindahan dan pembersihan Sungai Klang di bawah projek River of Life (RoL), serta yang terbaharu iaitu kerjasama dengan agensi InvestKL dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) untuk menarik seratus (100) syarikat multinasional melabur di Greater KL/KV. Pelbagai rundingan dan mesyuarat telah dan akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memastikan projekprojek mega di bawah Greater KL/KV ini dapat dilaksanakan.

  3. Siapakah yang bertanggungjawab untuk menarik pelaburan bagi pembangunan di kawasan ini?

    Terdapat dua belas (12) program yang terdapat di bawah projek Greater KL/KV. Salah satu program tersebut adalah MNC Attraction di mana satu badan yang diberi nama Invest KL akan ditubuhkan. Invest KL akan diketuai oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan dianggotai oleh MIDA, DBKL, MDeC, MOF, KPKT, SSIC dan juga Kerajaan Negeri Selangor. Invest KL diberi peranan untuk menarik sebanyak satu ratus (100) Syarikat Multinasional (MNC) untuk melabur di dalam projek Greater KL. Dijangkakan hasil daripada pelaburan oleh 100 MNCs ini, pendapatan sebanyak RM 40 bilion akan dapat diperolehi menjelang tahun 2020.

Lampiran

Tiada Lampiran.