Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
142) GOLONGAN MISKIN TEGAR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor kepada golongan miskin tegar dan peluang yang mereka perolehi untuk mengubah nasib mereka?
Usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan dan keadaan sosio ekonomi untuk berhijrah keluar daripada kitaran kemiskinan. Untuk makluman, PGK RM1,500 seisi rumah telah mula digunapakai sejak tahun 2009 berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 1/2009 pada 7 Januari 2009. Berdasarkan kepada keputusan MMKN ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016 pula MMKN bersetuju bahawa PGK Negeri Selangor dikekalkan pada paras RM1,500.00 seisi rumah dan pada waktu itu, PGK Selangor ini juga dilihat lebih realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa berbanding dengan PGK Nasional iaitu RM930 seisi rumah (mulai tahun 2014). Tetapi pada tahun 2020, atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membela nasib golongan miskin dan miskin tegar ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan kadar PGK yang baharu berjumlah RM2,000 seisi rumah. Ini adalah berdasarkan kepada keputusan MMKN ke 26/2020 bertarikh 29 Julai 2020 iaitu MMKN bersetuju bahawa PGK Negeri Selangor dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 seisi rumah dan terpakai dalam menyelaras dan melaksanakan program Kerajaan Negeri Selangor. Oleh yang demikian, kebanyakan syarat-syarat pendapatan program di bawah Kerajaan Negeri Selangor telah dinaikkan kepada RM2,000 seisi rumah dan ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk memohon bantuan dan menerima manfaat.
Untuk makluman Yang Berhormat lagi, program-program tersebut kini telah dijenamakan sebagai Iltizam Selangor Penyayang (ISP) sepertimana yang telah diumumkan dalam sesi pembentangan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2022. ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat di samping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SGD). ISP terdiri daripada empat puluh empat (44) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori iaitu kebajikan, kesihatan, kekeluargaan, pendidikan, pekerjaan dan perniagaan serta perumahan. Antara program-program ISP adalah seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Skim Air Darul Ehsan (SADE), Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED), Bantuan Bina dan Baiki Rumah Kerajaan Prihatin, Skim Hijrah, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Peduli Siswa, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS), Program Peduli Siswa, Bas Smart Selangor, Iltizam Selangor Sihat, SARING Selangor serta pelbagai lagi. Dalam pada itu, program-program ISP juga diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekali gus dapat mengangkat golongan yang tidak bernasib baik ini keluar daripada kitaran kemiskinan.