Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

138) GOLONGAN MISKIN BANDAR DAN IBU TUNGGAL

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik terkini keluarga miskin bandar dan ibu tunggal yang ada di Selangor mengikut daerah.

    JKM tidak mempunyai data yang berfokus keluarga miskin dan ibu tunggal. Namun begitu statistik terkini bantuan yang tergolong di dalam kategori ini adalah Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dan Bantuan Am Negeri (BA). Sehingga Oktober 2021, terdapat 4,205 kes penerima BKK dengan perbelanjaan RM14,694,700.00 dan terdapat 5,261 kes BA dengan perbelanjaan sebanyak RM10,966,900.00.

  2. Nyatakan usaha Kerajaan Negeri bagi membantu golongan ini untuk menaiktaraf kehidupan mereka melalui program-program yang telah dirancang.

    Sebagai Kerajaan Negeri yang berpaksikan peduli rakyat pelbagai program IPR dan perancangan telah disusun untuk membantu golongan keluarga miskin bandar dan ibu tunggal. Seperti mana yang kita tahu, salah satunya Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk membantu kaum ibu yang keluarganya berpendapatan RM2,000 ke bawah atau para ibu dari golongan B40 dimana mereka menerima bantuan kewangan bagi pembelian keperluan asas menggunakan Kad KISS dengan had RM200 sebulan. Kerajaan Negeri juga telah menyediakan 5,000 kuota Kad KISS hanya untuk ibu tunggal dan data terkini sehingga Oktober 2021 yang telah menerima bantuan adalah sebanyak 1,661 orang.

    Selain itu, program seperti Kad Peduli Sihat juga mensasarkan untuk membantu keluarga miskin termasuk ibu tunggal dalam mendapatkan rawatan klinik & hospital secara percuma dengan had pembiayaan RM200 setahun bagi kategori individu dan RM500 setahun bagi kategori keluarga mengikut jenis rawatan asas.

    Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang terdiri daripada 33 program seperti Skim Air Percuma, Bas Smart Selangor Percuma, Internet Percuma dan banyak lagi.

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dimana berdasarkan rekod dari 2008 hingga 2021 seramai 5,035 orang telah menerima bantuan peralatan/mesin dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM16,697,203.10. Manakala yang terbaru adalah penubuhan Program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED) pada Mac 2021 juga memberi fokus dalam memperkasakan sektor ekonomi bagi masyarakat India dalam kumpulan B40.

    Tidak lupa juga pelaksanaan Pemberian Bantuan Secara Baucar Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shoppping Perayaan yang telah dilaksanakan sejak 2012 dengan peruntukan sebanyak RM8 juta setiap tahun dimana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan menerima baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai Rm100 bagi pembelian barangan keperluan di pasar raya terpilih.

    Selain itu, kita sedar dalam menghadapi pendemik COVID-19, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan satu peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua DUN dibawah Pakej Kita Selangor 2.0 bertujuan untuk pelaksanaan Program Bakul Makanan kepada satu rakyat Selangor yang terjejas akibat penularan COVID-19 ini.

    Akhir sekali, Kerajaan Negeri juga bersedia untuk terus mengkaji dan membuat penambahbaikan serta menyediakan program-program baru pada masa akan datang yang akan memberi manfaat kepada rakyat di Selangor dengan peruntukan sedia ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.