Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
234) GOLONGAN MISKIN BANDAR DAN IBU TUNGGAL
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan statistik terkini keluarga miskin bandar dan ibu tunggal yang ada di Selangor.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, usaha mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri. Menyedari akan hakikat ini, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan program dan inisiatif dalam usaha mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.
Berdasarkan kepada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2016 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan tiada insiden kemiskinan. Penurunan insiden kemiskinan di Negeri Selangor adalah sebanyak 0.2%, iaitu daripada 0.2% pada tahun 2014 kepada 0.0% pada tahun 2016. Untuk makluman, Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2016 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia ini adalah dilakukan secara survey yang bertujuan untuk melihat purata pendapatan sosio ekonomi rakyat Malaysia dan bukannya untuk melihat statistik keluarga miskin secara menyeluruh.
Manakala berhubung statistik terkini ibu tunggal yang ada di Negeri Selangor pula, sehingga 17 Julai 2019, pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) telah merekodkan pendaftaran seramai 18,974 orang ibu tunggal di bawah Sistem Pendaftaran Ibu Tunggal.
-
Nyatakan program yang dapat membantu golongan ini untuk menaiktaraf kehidupan mereka
Sehubungan dengan itu, dalam membantu menaiktaraf kehidupan rakyat Negeri Selangor, Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilihat sebagai satu agenda yang memberi manfaat kepada golongan miskin bandar dan juga golongan miskin luar bandar yang meliputi keseluruhan lapisan masyarakat termasuklah ibu tunggal. Antara program-program yang dilaksanakan adalah seperti seperti Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan program-program kemahiran yang dilaksanakan oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB) seluruh Selangor meliputi penyertaan dari pelbagai golongan wanita.
Semua agenda dan inisiatif Kerajaan Negeri ini telah memperlihatkan keberkesanan yang positif dalam menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat Negeri Selangor. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik dan amat mengalu-alukan sebarang syor atau cadangan daripada masyarakat bagi membantu golongan miskin bandar mahupun ibu tunggal untuk keluar dari kitaran kemiskinan.
MAKLUMAT TAMBAHAN :
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2016 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia ini adalah merupakan laporan terkini yang menjadi rujukan. Ianya dikeluarkan pada setiap lima (5) tahun sebanyak dua (2) kali. Oleh yang demikian, data untuk tahun 2016 sehingga 2020 dijadualkan akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020.
Oleh yang demikian, untuk mengetahui statistik golongan miskin atau miskin tegar, sistem e-Kasih merupakan method yang tepat untuk digunakan sebagai rujukan. Ini kerana sistem eKasih mengandungi profil lengkap golongan miskin dan miskin tegar seperti maklumat asas isi rumah, kediaman, pendidikan, kesihatan dan jenis bantuan yang diterima daripada pelbagai Agensi Kerajaan termasuk projek atau program ekonomi serta maklumat lain yang berkaitan.
(Sumber : Kementerian Hal Ehwal Ekonomi & Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri)