Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
354) GOLONGAN MISKIN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa jumlah golongan miskin yang didaftarkan di DUN Kuang?
Untuk makluman Yang Berhormat Kuang, merujuk kepada data pendaftaran Ketua Isi Rumah (KIR) di dalam sistem eKasih di bawah ICU, JPM, Selangor sehingga 31 Disember 2023, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang beralamat di Kawasan DUN Kuang berstatus miskin tegar adalah sebanyak 37 orang.
-
Bagaimana penyelarasan JKM & inisiatif Kerajaan Negeri bagi DUN Kuang sebagai ADN pembangkang bagi menangani isu ini?
Kerajaan Negeri sentiasa memberi tumpuan kepada usaha pembasmian kemiskinan dan usaha ini adalah antara tugas utama Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor selaras dengan halatuju Rancangan Selangor Pertama (RS1).
Sehubungan dengan itu, salah satu langkah kerajaan negeri memastikan bahawa informasi dan akses kepada program bantuan golongan ini adalah melalui Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan (MfGD) daerah. Melalui Mesyuarat Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Daerah (FGD) dan Mesyuarat Focus Group Pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan (MFGNg) peringkat Negeri Selangor, kerajaan negeri sentiasa aktif dalam mengenalpasti masalah kemiskinan tegar di setiap daerah. Bantuan segera jangka masa pendek akan diberikan sekiranya bersesuaian dan Kerajaan Negeri Selangor turut merancang bantuan dan inisiatif jangka masa panjang bagi membantu golongan ini meningkatkan pendapatan bulanan dan seterusnya keluar dari kelompok kemiskinan tegar.
Selain daripada itu, antara rancangan jangka panjang kerajaan untuk menyokong kesinambungan hidup keluarga miskin tegar di termasuk langkah mengurangi kebergantungan pada bantuan sosial adalah melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP). ISP merupakan satu inisiatif berterusan malah menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan terutama keluarga miskin tegar. Ini adalah kerana ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah telah menyalurkan Skim Bantuan Persekutuan dan Skim Bantuan Am Negeri kepada rakyat di DUN Kuang. Skim Bantuan Persekutuan merangkumi Bantuan Kanak-Kanak dengan kadar dari RM100 hingga RM450 sebulan, Bantuan Orang Tua (RM350 sebulan), Elaun Pekerja Cacat (RM400 sebulan), Bantuan Penjagaan Pesakit/OKU Kronik Terlantar (RM350 sebulan), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (RM250 sebulan) dan Bantuan Anak Pelihara (RM250 sebulan). Manakala Skim Bantuan Am Negeri mempunyai tiga kadar mengikut Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan ahli isi rumah iaitu RM250, RM300 dan RM350 sebulan.
Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Dun Kuang adalah seperti berikut: –
BIL. JENIS BANTUAN BILANGAN (orang) 1. Bantuan AM 39 2. Bantuan Kanak-Kanak 26 3. Bantuan Anak Pelihara 1 4. Bantuan OKU Tidak Upaya Bekerja 193 5. Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Terlantar 38 6. Elaun Pekerja OKU 131 7. Bantuan Warga Emas 169 JUMLAH 597