Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
145) GOLONGAN KELAINAN UPAYA (OKU)
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah galakan dan manfaat yang diberikan kepada golongan kelainan upaya (OKU) untuk menambah pendapatan dan mencari rezeki?
Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan OKU di dalam membantu menambah pendapatan dan mencari rezeki dizahirkan melalui pelbagai platform kepada golongan OKU agar mampu berdikari dan menyara diri sendiri dan keluarga dari terus bergantung harap kepada orang lain.
Antara program-program dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri adalah melalui program-program pemberdayaan OKU yang pernah dijalankan dan masih diteruskan seperti Karnival Kerjaya dan Pemerkasaan Ekonomi OKU Tahun 2017 dan Karnival Kerjaya OKU Tahun 2018 yang telah diadakan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dan Jobs Malaysia. Karnival ini masih diteruskan pada tahun ini melalui jalinan usahasama positif di antara Jawatankuasa Tetap Modal Insan Selangor dan Jawatankuasa Tetap Kebajikan iaitu Selangor Mega Jobs Fair 2019.
Selain itu, Program Zero To Hero oleh Hijrah Selangor juga turut memberi ruang dan peluang kepada golongan OKU mendapatkan pinjaman bagi memulakan perniagaan bergantung kepada keupayaan dan minat individu tersebut. Berdasarkan rekod Hijrah Selangor, seramai 76 orang peserta program ini adalah dari golongan OKU.
Penglibatan dan keprihatinan terhadap golongan ini turut mendapat perhatian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menyediakan program dan kemudahan bagi menyuntik semangat golongan OKU yang berpotensi untuk meningkatkan ekonomi mereka.
Program-program dan kemudahan yang disediakan ini memberi fokus dan penekanan kepada usaha ke arah pendayaupayaan klien khususnya penerima bantuan melalui pendekatan productive welfare. Program pembangunan dan pengintergrasian bagi membantu klien mencapai matlamat ke arah berdikari
adalah melalui penjenamaan “2 Years Exit Programme” (2YEP). Pendekatan ini sangat menekankan kepada pemerkasaan klien agar lebih bermotivasi memperolehi latihan kemahiran yang bersesuaian dengan keupayaan mereka. Antaranya adalah :
- Geran Pelancaran
Pemberian geran ini merupakan bantuan kewangan untuk memberikan galakan kepada kumpulan sasar Jabatan yang mempunyai minat dan potensi diri untuk maju dalam menceburi bidang perusahaan atau perniagaan kecil seterusnya dapat berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka. Suntikan dana permulaan Bantuan Geran Pelancaran (BGP) dengan kadar RM2,700 sekaligus ini membolehkan golongan OKU melancarkan rancangan jaya diri mereka agar dapat berdikari dengan usaha sendiri untuk memulakan perniagaan yang diceburi.
- Pusat Latihan Perindustrian & Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor
Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP) adalah sebuah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memberikan perkhidmatan kepada Orang Kurang Upaya Fizikal melalui latihan vokasional serta pemulihan perubatan. Terdapat pelbagai latihan, program dan kemahiran yang disediakan untuk membantu golongan OKU mendapatkan kursus pra-vokasional dan vokasional seperti Rekaan Fesyen & Jahitan (MLVK), Elektrikal (MLVK), Elektronik, Elektrikal, Prostetik dan Ortotik, Pembuatan Kerusi Roda, Komputer, Lukisan, Jahitan, Membatik dan lain-lain.
- Bengkel Daya Klang
Bengkel ini dikhaskan untuk OKU yang tidak berdaya saing bagi mendapat pekerjaan di pasaran terbuka. Bengkel ini bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada OKU, mempertingkatkan tahap keupayaan, kebolehan, pengetahuan dan kemahiran warga kurang upaya serta memberi sumber pendapatan kepada warga kurang upaya dalam bidang jahitan, perkhidmatan am dan bakeri.
Selain itu, Skim Bantuan Persekutuan juga disediakan bagi OKU yang berkelayakan dan berpendapatan bulanan RM1,200 dan ke bawah melalui Elaun Pekerja Cacat (EPC) dengan kadar bantuan RM400 sebulan sebagai insentif untuk menggalakkan OKU terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan dan akan mempertimbangkan sekiranya terdapat cadangan atau pandangan yang bernas dalam membangunkan serta meningkat ekonomi golongan OKU dalam usaha untuk mendorong mereka memajukan diri sama ada dalam bidang perniagaan atau apa sahaja yang demi masa depan mereka.