Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
71) GOLONGAN GELANDANGAN BANDAR
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah peranan dan tanggungjawab Kerajaan Negeri kepada golongan gelandangan di Selangor?
Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor sentiasa prihatin terhadap golongan gelandangan di Negeri Selangor. Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor adalah bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183] di mana peranan Jabatan adalah untuk menyelamatkan orang papa seperti diperuntukkan di bawah Akta 183 tersebut.
Menurut Seksyen 2 Akta 183 memberikan tafsiran ‘orang papa’:
- sebagai seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dengan sebegitu cara hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang yang lazim mengunjungi tempat itu atau pun hingga menimbulkan kacau ganggu; atau
- seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam, sama ada atau tidak dia mengemis, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menjalankan operasi menyelamat orang papa dari semasa ke semasa mengikut kaedah seperti berikut:-
- Operasi Berjadual – Operasi dijalankan oleh pihak Jabatan berdasarkan jadual yang dirancang di kawasan hotspot. Kekerapan adalah 2 kali sebulan.
- Operasi Bersepadu (Inter Agensi) – Operasi yang dijalankan bersama agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan lain-lain jabatan berkaitan secara bersepadu di kawasan hotspot yang telah dikenalpasti.
- Operasi Ad Hoc – Operasi yang dijalankan secara mengejut/serta merta selepas menerima aduan daripada orang awam.
Bagi pengurusan kes orang papa ini pula, kesemua orang papa terdiri daripada kalangan warganegara yang diselamatkan menerusi operasi yang dijalankan akan diserahkan semula kepada waris / penjaga dan bantuan kewangan secara bulanan akan diberikan sekiranya diperlukan. Manakala bagi kes orang papa warganegara yang tiada waris / penjaga akan ditempatkan di institusi kebajikan JKM. Pihak Jabatan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada kes atau ahli keluarga yang memerlukan perkhidmatan tersebut. Rujukan kepada agensi lain yang berkaitan seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Agama Islam Negeri serta pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan akan dibuat sekiranya kes-kes tersebut memerlukan bantuan-bantuan lain seperti bantuan sewa rumah dan lain-lain.
Bagi kes orang papa bukan warganegara, Jabatan akan menyerahkan kes berkenaan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Manakala bagi kes-kes orang papa yang berpenyakit mental, pihak Jabatan akan merujuk kes berkenaan kepada pihak hospital dan PDRM untuk diuruskan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001.
Statistik jumlah operasi yang dijalankan mengikut daerah bagi tahun 2013 hingga Mac 2016 adalah seperti berikut:-
BIL DAERAH 2013 2014 2015 3/2016 JUMLAH 1. PETALING 115 200 180 38 533 2. HULU LANGAT 109 163 136 40 448 3. KLANG 26 59 36 25 146 4. KUALA SELANGOR 29 57 42 13 141 5. SABAK BERNAM 20 51 42 6 119 6. KUALA LANGAT 27 48 34 5 114 7. GOMBAK 11 31 35 12 89 8. SEPANG 17 29 27 9 82 9. HULU SELANGOR 22 24 17 6 69 JUMLAH 376 662 549 154 1,741 Statistik bilangan kes yang diselamatkan mengikut status kewarganegaraan bagi tahun 2013 hingga Mac 2016 adalah seperti berikut:-
BIL TAHUN TAHUN JUMLAH WARGANEGARA BUKAN WARGANEGARA 1 2013 158 113 271 2 2014 214 252 466 3 2015 183 338 521 4 3/2016 59 90 149 JUMLAH 614 793 1,407 -
Apakah Kerajaan Negeri berhasrat menyediakan rumah transit untuk mereka?
Setakat ini pihak Jabatan tidak bercadang untuk menyediakan rumah transit kepada golongan gelandangan di Negeri Selangor dalam tempoh terdekat memandangkan aktiviti gelandangan masih terkawal dan institusi kebajikan sedia ada adalah mencukupi bagi menangani isu ini.
Walau bagaimanapun pihak Jabatan mempunyai perancangan jangka panjang untuk mewujudkan rumah transit kepada kes atau bekas penghuni institusi kebajikan yang produktif terdiri daripada orang papa dan mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan tempat tinggal sementara mereka dapat mencari pekerjaan yang sesuai dan seterusnya dapat berdikari sendiri.
Jabatan juga mencadangkan kepada pihak Kerajaan Negeri untuk menjalankan kajian mengenai keperluan ini sebelum sebarang keputusan dibuat.