Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

268) GOLONGAN ANTI VAKSIN COVID-19 DI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri telah mengenal pasti siapa golongan ini di Selangor dan berapa bilangannya?

    Kerajaan Negeri sentiasa memastikan setiap lapisan masyarakat menerima vaksin bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pelan pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan. Pelaksanaan Program Vaksin Selangor (SelVAX) yang merupakan inisiatif sendiri oleh Kerajaan Negeri membuktikan akan komitmen kerajaan dalam hal ini. Walaupun begitu, kita harus menerima hakikat bahawa masih terdapat segelintir golongan yang masih enggan menerima vaksinasi. Pelbagai alasan dan sebab yang menyebabkan golongan ini masih tidak menerima vaksin Covid-19.

     

    Bagi tahun 2021 sehingga bulan Oktober, jumlah kes yang menolak imunisasi kanak-kanak di negeri Selangor adalah seramai 120 orang di mana majoriti adalah daripada bangsa melayu (107), cina (1) dan lain-lain (2).  Kebanyakan ibu yang menolak vaksinasi adalah yang mereka yang bekerja sebagai suri rumah iaitu sebanyak 81 orang, diikuti golongan profesional di sektor awam (11), bukan profesional sektor awam (5), profesional di sektor swasta (6) dan bukan profesional di sektor swasta (6). Majoriti daripada mereka menolak pemberian imunisasi adalah kerana disebabkan oleh takut akan kesan sampingan (45), ragu dengan kandungan vaksin tidak selamat  (35), menggunakan rawatan homeopati (21), isu halal dan haram (22), pengaruh keluarga/kawan-kawan (12), pengaruh internet/media social (5), anggapan risiko rendah mendapat jangkitan (4), kos (2), menggunakan rawatan tradisional (2) dan lain-lain (19). Walau bagaimanapun, tiada data berkenaan golongan anti-vaksin COVID-19 di Selangor.

  2. Apakah peranan kerajaan negeri terhadap golongan berkenaan?

    Dalam memastikan golongan di atas menerima vaksinasi, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan bantuan agensi berkaitan, antaranya seperti berikut:

     

    1. Mengadakan hebahan promosi berkenaan kepentingan pengambilan vaksin di media cetak dan media sosial;
    2. Kaunseling kepada ibu bapa yang menolak vaksin tentang kepentingan mengambil vaksin secara berkala oleh Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan Keluarga di klinik kesihatan; dan
    3. Bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan menjemput Pakar Perubatan Keluarga untuk memberikan ceramah kesihatan di radio negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.