Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

47) GLC NEGERI SELANGOR SISTEM SOKONGAN PENGURUSAN PELUPUSAN SAMPAH

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah peranan GLC dalam mewujudkan sistem sokongan bagi pengurusan pelupusan sampah di seluruh Selangor?

    Secara dasarnya, pengurusan sisa pepejal di Selangor telah melalui beberapa fasa yang meliputi :

    Fasa ( 1 ) : Sistem pengurusan sisa pepejal sepenuhnya diuruskan dan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan sendiri tanpa melibatkan pihak lain sebagai rakan sekerja (partner);

    Fasa ( 2 ) : Sistem pengurusan sisa pepejal dilaksanakan secara kerjasama dengan pihak swasta dengan mengagihkan beberapa elemen yang terdapat dalam sistem pengurusan sisa pepejal yang mana ianya termasuklah elemen kutipan, pengangkutan, pembersihan awam dan pelupusan.

    Fasa ( 3 ) : Elemen kutipan dan pembersihan awam dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Manakala elemen pelupusan dilaksanakan secara interim yang mana perjanjian kontrak dimeterai antara Kerajaan Negeri dengan pihak GLC yang memperoleh konsesi dalam jangka masa tertentu.

    Pada ketika ini, pelaksanaan pengurusan sisa pepejal di Selangor berada di Fasa ( 3 ) yang mana elemen pelupusan dilaksanakan oleh GLC melalui pemeteraian kontrak. Jika dilihat, peranan GLC dalam menguruskan pengurusan pelupusan sisa pepejal di Selangor adalah sangat berkesan dan penting bagi sepanjang tempoh 20 tahun ini. Ini terbukti dengan pembinaan tapak pelupusan secara sanitari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Air Hitam, Puchong. Tapak pelupusan ini merupakan tapak pelupusan sanitari pertama yang dibangunkan di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya. Tapak-tapak pelupusan terbuka juga telah dibangunkan semula sama ada dinaiktaraf kepada tapak pelupusan secara sanitari atau ditutup secara selamat dan diteruskan dengan penyelenggaraan pasca penutupan secara selamat. Masalah alam sekitar juga dapat dikurangkan dengan wujudnya pengurusan alam sekitar secara menyeluruh terutama dalam pengurusan air larut resapan (leachate), pengurusan gas tapak dan pemantauan alam sekitar yang berterusan di bawah pengurusan GLC yang berkepakaran dari segi teknikal dan pengalaman bagi membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan pengurusan pelupusan sisa pepejal.

    Di samping itu juga, usahasama dengan GLC juga membantu Kerajaan Negeri dalam meneroka pelbagai usaha yang akan dan telah dilaksanakan terutamanya  dalam mengenalpasti teknologi baru yang sesuai bagi mengurangkan kadar kebergantungan kepada sistem pelupusan secara sanitari. Antara teknologi yang sedang dikaji termasuklah sistem rawatan mekanikal dan biologikal (MBT), sistem loji tenaga sisa (WtE), kompos, sistem “Thermal Coversion(pyrolisis, gasification & combustion) dan sistem biomass.

  2. Apakah Kerajaan bercadang untuk mewujudkan ÒAlam FloraÓ versi Selangor yang menjanjikan konsep value for money?

    Pada ketika ini, pelantikan dan pemantauan kontraktor kutipan sisa pepejal diuruskan sendiri oleh kesemua dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor. Manakala proses pelupusan pula, ianya dijalankan oleh Worldwide Landfills Sdn. Bhd. Ketiadaan suatu entiti induk di bawah Kerajaan Negeri yang menguruskan dan memantau keseluruhan rantaian operasi sisa pepejal dari proses kutipan sehingga pelupusan mengakibatkan pengurusan sisa pepejal menjadi kurang cekap dan masih tidak dapat menyelesaikan pengurusan sisa pepejal dengan efektif. Perkara ini menyebabkan banyak aduan serta rungutan diterima hingga menjadi isu yang sering dibincangkan.

    Oleh yang demikian, bagi menambahbaik mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa perlunya satu entiti induk yang akan membantu Kerajaan Negeri dari segi pengurusan sisa pepejal termasuklah berperanan untuk menyelesaikan tiga (3) isu utama iaitu:

    1. Isu pelupusan serta pembuangan sampah haram;
    2. Isu ketidakseragaman proses pelantikan dan pemantauan kontraktor; dan
    3. Isu pengumpulan maklumat 
  3. Apakah pendirian Kerajaan tentang projek usahasama GLC-syarikat swasta dalam pelupusan sampah seluruh Selangor?

    Sama seperti di SUB(b)

Lampiran

Tiada Lampiran.