Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

309) GERAN TANAH KAMPUNG CHEMPAKA DAN PENGALIAN HALEHWAL TANAH

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapakah permohonan geran-geran tanah oleh penduduk-penduduk Kampung Chempaka yang telah lama dibuat tidak dapat diluluskan lagi?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 25/94 bertarikh 10 Ogos 1994, telah meluluskan 880 permohonan pemberimilikan di Kg Chempaka dan sebanyak 725 hakmilik telah diproses dan didaftarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling. Baki sebanyak

    155 permohonan telah terbatal kerana tidak menjelaskan bayaran premium Borang 5A dalam tempoh masa yang ditetapkan.

    Seterusnya, pemohon telah mengemukakan rayuan dan hanya 108 permohonan yang lengkap telah diangkat semula oleh PTD Petaling. Daripada jumlah tersebut, 56 permohonan pemberimilikan telah diluluskan melalui MMKN ke 37/2011 bertarikh 7 Disember 2011.

    Buat masa ini, PTD Petaling sedang dalam proses akhir penyediaan Kertas Ringkasan untuk pertimbangan MMKN ke atas baki permohonan yang tercicir serta pemohon-pemohon yang telah mendapat kelulusan sebelum ini, tetapi tidak menjelaskan bayaran premium. Ulasan dari jabatan-jabatan teknikal yang terlibat telah diperolehi oleh PTD Petaling melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Tanah pada 23 Februari 2016.

    Permohonan ini mengambil tempoh yang panjang kerana maklumat permohonan tidak lengkap dan proses semakan semula tanah yang dimohon telah melibatkan tanah Rizab Sungai Kayu Ara dan cabang Sungai Takil, Rizab Jalan dan Rizab TNB.

  2. Adakah kerajaan ada rancangan untuk meningkatkan efisiensi pengendalian hal-ehwal tanah di Kerajaan Negeri Selangor? Adakah KPI telah ditentukan? Sila huraikan.

    Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) telah membuat pemantauan secara berterusan melalui mesyuarat-mesyuarat berkala seperti, Mesyuarat Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bersama Pentadbir Tanah Daerah, Mesyuarat Timbalan Pengarah PTGS Bersama Ketua Pegawai Daerah serta pemantauan melalui pelaksanaan audit dalaman yang diselaraskan oleh PTGS. Ini bagi memastikan pematuhan dan penyeragaman Standard Operating Procedures (SOP) yang melibatkan semua urusan tanah. Selain itu, PTGS juga telah mengeluarkan Pekelling-Pekeliling atau Arahan- Arahan PTGS sebagai panduan kepada Pentadbir Tanah dalam memproses permohonan urusan-urusan tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.