Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
400) GERAN TANAH
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri atas kes-kes pemilikan tanah yang bertukar ke nama orang lain tanpa pengetahuan pemilik tanah sendiri?
Kerajaan Negeri memandang serius isu pemilikan tanah yang bertukar pemilikan tanpa kebenaran dan pelbagai langkah telah diambil bagi mengawal perkara ini daripada berlaku. Antara tindakan kawalan dan penambahbaikan yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengawal isu ini adalah seperti berikut:
- Penggunaan Sistem e-Tanah.
Kerajaan Negeri telah menggunakan sistem e-Tanah di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di Negeri Selangor bermula pada 26 Oktober 2023. Melalui sistem ini, risiko penyelewengan dapat dikurangkan di mana keselamatan maklumat tanah secara digital dipertingkatkan melalui proses encryption, biometrik, digital signature dan Public Key Infrastructure. Selain itu, Sistem e-Tanah juga merupakan satu sistem komprehensif dan bersepadu yang diintegrasikan dengan sistem-sistem dari agensi-agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran negara (JPN). Integrasi ini akan memberi impak positif untuk menangani masalah penipuan, pemalsuan dan pertindihan di dalam urusan tanah.
- Meningkatkan ciri-ciri keselamatan pada Kertas Keselamatan bagi cetakan hakmilik.
PTGS dan semua PDT Negeri Selangor telah menggunakan Kertas Keselamatan baharu yang telah direka khas bagi mengelakkan pemalsuan dan penipuan dokumen hakmilik. Kertas keselamatan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti corak latent, watermark, security thread, fluorescent fibers dan microprinting akan membantu memastikan keaslian dan integriti dokumen.
- Program kesedaran kepada pemegang taruh.
Pelbagai medium digunakan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan orang awam melalui hebahan informasi berkenaan urusan tanah seperti risiko pembelian lot lidi, tatacara pemilikan tanah yang tepat, kaedah bagi melaksanakan Carian Hakmilik dan sebagainya. Khidmat nasihat berterusan juga diberikan kepada mereka yang hadir terus ke Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS). Langkah-langkah ini dapat melindungi kepentingan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
- Jalinan kerjasama dengan Majlis Peguam, PDRM, LHDN dan agensi yang berkaitan.
Kerjasama dengan pelbagai agensi yang berkaitan seperti Majlis Peguam Negeri Selangor, PDRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan sebagainya dilakukan dari masa ke semasa. Dengan kerjasama dari segi perkongsian sumber, kepakaran dan data, langkah pencegahan bersama yang lebih komprehensif dapat diwujudkan.
- Penambahbaikan SOP bagi Pendaftaran Urusniaga dan Bukan Urusniaga di PTGS dan PDT.
SOP dan arahan dalaman sentiasa ditambahbaik dari semasa ke semasa bagi menjadi panduan kepada semua Timbalan Pendaftar untuk membuat keputusan dan pertimbangan sebelum mendaftarkan sesuatu urusan. Melalui SOP ini, Timbalan Pendaftar boleh mempertimbangkan untuk menolak urusan yang meragukan atau membuat siasatan melalui sesi pendengaran bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada penyerah.