Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
105) GERAN KECIL ALAM SEKITAR DAN GERAN KECIL TEKNOLOGI HIJAU
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan Permohonan Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS) dan Geran Kecil Teknologi Hijau (GKTH) Negeri Selangor untuk tahun 2022 yang telah diluluskan bersekali dengan ringkasan tajuk masing-masing.
Program Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS) dan Geran Kecil Teknologi Hijau (GKTH) Negeri Selangor merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyokong agenda negeri ke arah melestarikan alam sekitar bagi menangani isu-isu seperti pemanasan global, pencemaran udara, pencemaran air, banjir kilat serta kepupusan flora dan fauna. Objektif pemberian GKAS dan GKTH adalah untuk membantu komuniti dalam organisasi dan persatuan untuk mengakses pembiayaan bagi projek/program yang inovatif, meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta menggalakkan penggunaan produk teknologi dalam kehidupan harian.
Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau telah membuka penyertaan bagi tahun 2021/2022 pada 1 Disember 2021 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.3 juta. Sebanyak 128 penyertaan telah diluluskan dengan pembiayaan sehingga RM10,000.00 bagi Geran Kecil Alam Sekitar dan RM20,000.00 bagi Geran Kecil Teknologi Hijau.
Secara ringkasnya, pecahan GKAS dan GKTH Negeri Selangor yang telah diluluskan bagi tahun 2022 dibahagikan mengikut pecahan seperti berikut (senarai penuh seperti di LAMPIRAN):
BIL. KATEGORI GKAS (RM) GKTH (RM) 1. Persatuan Penduduk 82,000 280,500 2. Sekolah 105,500 181,000 3. Institut Pengajian Tinggi (IPT) 89,000 91,000 4. Rumah Ibadat 25,000 70,000 5. Badan Bukan Kerajaan (NGO) 98,000 130,000 6. Badan Pengurusan Bersama (JMB) 23,000 125,000 JUMLAH 422,500 877,500 JUMLAH KESELURUHAN 1,300,000 -
Bagaimana kerajaan mengawalselia dan memastikan setiap peruntukan ini digunakan dengan tepat agar pemohon tidak menyalahgunakan dana tersebut untuk aktiviti dan program yang tiada kaitan dengan pemeliharaan alam sekitar dan teknologi hijau?
Kerajaan Negeri menyambut baik usaha-usaha organisasi, persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan dalam bentuk geran khas bagi menyokong dan mengiktiraf usaha tersebut. Namun begitu, Kerajaan Negeri perlu memastikan ke semua peruntukan yang diberikan kepada organisasi, persatuan dan NGO adalah bersesuaian dan selaras dengan bidang keutamaan, dasar serta objektif Kerajaan Negeri.
Sebagai langkah pengawalan selain memastikan setiap peruntukan ini digunakan dengan telus dan tiada unsur-unsur penyalahgunaan dana tersebut, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negeri Selangor telah menggariskan terma dan syarat bagi pemberian GKAS dan GKTH. Berikut adalah terma dan syarat yang ditetapkan kepada organisasi, persatuan dan NGO:
- Organisasi/persatuan perlu mempunyai sijil pendaftaran yang sah dan mempunyai rekod pengurusan yang teratur;
- Mempunyai penyata kewangan yang sah, terkini dan diperakui oleh institusi kewangan negara;
- Mematuhi jadual pelaksanaan program/projek yang telah ditetapkan;
- Peruntukan geran hanya untuk program yang diluluskan sahaja dan tidak boleh digunapakai untuk apa jua tujuan selain dari permohonan asal. Sekiranya terdapat pindaan program/projek, pemohon perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada pihak urusetia;
- Mengemukakan laporan pelaksanaan program dalam tempoh 30 hari selepas tamat program mengikut format yang telah ditetapkan oleh urusetia termasuklah jumlah penglibatan peserta dan perbelanjaan sebenar program; dan
- Lawatan ke tapak projek/program oleh urusetia.
Walau bagaimanapun, urusetia sentiasa menyemak semula terma dan syarat ini mengikut keadaan semasa dan memastikan kelulusan program/projek GKAS dan GKTH menepati aspirasi Kerajaan Negeri dalam menjadikan negeri Selangor ke arah negeri Berdaya Huni dan Mampan.