Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
45) GERAKAN RANGKAIAN SOSIAL FACEBOOK
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti kekuatan dan potensi di segi penerangan yang mampu dijana melalui Facebook yang kini dikendalikan secara individu oleh ADUN di semua DUN seluruh Selangor?
Facebook merupakan salah satu laman rangkaian sosial yang telah diperkenalkan pada Februari 2004 dan dimiliki serta dioperasi oleh Facebook, Incorporated. Dengan adanya facebook, pengguna boleh menambah rangkaian social mereka samada dengan rakan yang sudah dikenali ataupun membina rakan baru. Melalui facebook, pengguna boleh menyampaian mesej sama ada melalui komputer ataupun telefon bimbit, bersembang, mengemaskini biodata, berkongsi pendapat, memuat naik gambar acara, menyediakan jemputan kepada rakan-rakan dan lain-lain lagi. Kekuatan yang mampu dijana melalui Facebook oleh ADUN ialah penyampaian maklumat terkini secara berkesan dan berterusan. Selain menggunakan blog untuk mengemaskini maklumat terkini ADUN tersebut, Facebook merupakan medium paling popular dan berpengaruh di internet dan telah dinobatkan sebagai laman web social terbaik dalam penyampian maklumat terkini selain Friendster dan Myspace.
Jika dilihat dari sudut potensi, dengan adanya Facebook, rakyat akan lebih mudah berhubung dengan ADUN tidak kira masa dan tempat. ADUN juga boleh menyampaikan status terkini perkembangan berita di kawasan mereka sama ada melalui komputer ataupun telefon bimbit dengan lebih cepat, mudah dan murah. Segala maklumat boleh dicapai dihujung jari sahaja. Ini secara tidak langsung dapat merapatkan lagi hubungan antara rakyat dan ADUN.
-
Apakah Kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk mensinergikan rangkaian Facebook ini sebagai satu gerakan rangkaian sosial bersepadu?
Pada masa sekarang, Kerajaan Negeri telah pun mempunyai Facebook sendiri atas nama SelangorStateGovernment dan mempunyai seramai 3,388 yang mengikuti perkembangan Kerajaan Negeri Selangor. Facebook tersebut diselia oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan dipantau oleh Bahagian Korporat. Selain memaparkan berita terkini mengenai Selangor dan menjawab semua persoalan daripada orang awam, Facebook SelangorStateGovernment juga menyediakan pautan kepada mana-mana berita daripada EXCO/ADUN mengenai pelbagai acara terkini, seperti acara Jejak Ilmuwan Selangor, SPIES, No Plastic Bag Day dan lain-lain.
-
Apakah Kerajaan Negeri ada rancangan untuk mewujudkan seorang pegawai penerangan bagi mengemas kini Facebook ini melalui pusat-pusat khidmat ADUN?
Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk mengambil pegawai semata-mata untuk mengemaskini Facebook atau Twitter di pusat khidmat. ADUN-ADUN boleh mengambil inisiatif dengan memberikan multitasking kepada pekerja pusat Khidmat bagi mengemaskinikan Facebook atau Twitter. Sekiranya perlu ADUN boleh menghantar pekerja-pekerjanya untuk menjalani latihan atau kursus intensif di Bahagian Teknologi Maklumat untuk mendapatkan latihan dan bimbingan berkenaan dengan penggunaan Facebook, Twitter atau blog.