Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

68) GEOPARK KEBANGSAAN GOMBAK HULU LANGAT

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Agensi kerajaan manakah yg telah diberi mandat untuk mengurus,dan mengendalikan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Hulu Langat Geopark (GHLGp) ?

    Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 32/2021 pada 29 September 2021 telah bersetuju untuk melantik Tourism Selangor sebagai Badan Pelaksana GHL Geopark yang diamanahkan untuk menyelaras dan melaksana aktiviti-aktiviti dalam GHL Geopark seperti yang diputuskan di peringkat Badan Pengurusan GHL Geopark.

    Pihak Tourism Selangor bertanggungjawab mentadbir kawasan Gombak-Hulu Langat Geopark seluas 112,955 hektar terdiri daripada dua (2) daerah iaitu Gombak dan Hulu Langat serta merangkumi 3 pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

  2. Sila nyatakan fungsi & peranan agensi tersebut.

    Peranan dan fungsi Tourism Selangor sebagai Badan Pelaksana GHL Geopark adalah seperti berikut:

    • Melaksana dan menyelaras perancangan, pembangunan, promosi dan pemeliharaan melalui tiga (3) Jawatankuasa di dalam Badan Pengurusan GHL Geopark seperti berikut :-
      • Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan;
      • Jawatankuasa Pembangunan dan Promosi; dan
      • Jawatankuasa Penglibatan Komuniti dan Pendidikan

     

    • Menyelaras khidmat nasihat dan bidang kepakaran seperti pelancongan, geologi, kepelbagaian biologi, perundangan dan pembangunan;

     

    • Menyelaras pembangunan fizikal dan prasarana;

     

    • Menyelaras khidmat pemasaran dan promosi GHL Geopark melalui pelbagai medium; dan

     

    • Melaporkan secara berkala status pelaksanaan GHL Geopark kepada Pihak Berkuasa Negeri.
  3. Apakah rancangan pengurusan dan rancangan pemasaran lima (5) tahun bagi GHLGp?

    Gombak Hulu Langat Geopark telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ke 7 pada 14 November 2022 oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan markah kelulusan 90%.

    Rancangan Pentadbiran dan Rancangan Pemasaran GHL Geopark bagi lima (5) tahun  dilaksanakan berdasarkan pelan pengurusan yang meliputi pecahan 5 komponen utama iaitu :

    GHL Geopark sebagai salah satu teras Rancangan Selangor 1

    1. Pembangunan Infrastruktur 20 Geotapak
    2. Pembangunan Latihan (Geo Guide dan Geo Komuniti)
    3. Penganjuran program dan acara tahunan Geopark
    4. Program Promosi Geopark (Domestik & Antarabangsa)
    5. Pembangunan Kajian dan Pencirian Geopark (Saintifik, Budaya dan Bio-Sfera)

    Sasaran 5 tahun GHL Geopark adalah mendapatkan Pengiktirafan Unesco Global Geopark (UGGp) menjelang 2028 :

    • Berdasarkan data terkini, terdapat 2 geopark bertaraf UNESCO Global Geopark di dalam Malaysia iaitu Langkawi UGGp dan Kinabalu UGGp. Manakala Geopark Kebangsaan yang sedang memohon penilaian UNESCO adalah Sarawak Delta Geopark dan Lenggong Geopark.
    • Pengurusan GHL Geopark menyasarkan pengiktirafan Unesco Global Geopark pada tahun 2028 sebagai salah satu strategi meningkatkan nilai kelestarian Negeri Selangor ke peringkat antarabangsa.
    • Pengiktirafan ini bukan sahaja memberikan faedah kepada GHL geopark malah ianya memberikan impak dan faedah menyeluruh kepada Kerajaan Negeri Selangor
    • Pengiktirafan ini dapat di capai dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan pelan pengurusan GHL Geopark serta sokongan Kerajaan Negeri Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.