Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
295) GEMPA BUMI
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah persediaan Kerajaan Negeri dan semua PBT/Agensi di Selangor untuk menghadapi gempa bumi jika berlaku?
Secara amnya, Sistem Amaran Awal Jabatan Metrologi Malaysia telah sedia ada memberi maklumat dan amaran awal kepada Kerajaan Negeri Selangor, serta agensi-agensi berkaitan, sekiranya berlaku gegaran dan pergerakan tektonik bagi kawasan-kawasan berhampiran dengan Negeri Selangor dan Malaysia. Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Selangor, sentiasa bersedia untuk menyelaras sebarang persediaan dan kemungkinan berlakunya gempa bumi di Negeri Selangor. Latihan dan Bengkel pengukuhan prosedur operasi bencana sedang dirangka bagi memastikan kesiapsiagaan semua agensi disamping latihan-latihan simulasi yang sentiasa diadakan dari semasa ke semasa. (Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor)
-
Adakah piawanan untuk pembinaan bangunan dan infrastruktur akan ditingkatkan memandangkan ada kemungkinan gempa bumi di Selangor
Untuk makluman Yang Berhormat, piawai kejuruteraan untuk pembinaan bangunan dan infrastruktur di negara ini sentiasa ditingkatkan dari masa ke masa. Sebagai contoh, sebelum tahun 1983, bangunan telah direka bentuk menggunakan Piawaian British CP 114, tetapi telah dipertingkatkan kepada Piawaian British CP 110 selepas tahun 1983. Piawaian yang digunakan kemudian dipertingkatkan lagi dalam tahun 1990an dengan penggunaan Piawaian British BS 8110. Pada masa kini, memandangkan Piawaian British telah ditarik balik dan digantikan dengan Piawaian Eropah bagi negara-negara dalam Kesatuan Eropah, penggunaan piawaian dalam industri kejuruteraan tempatan juga telah ditingkatkan secara beransur-ansur kepada Piawaian Eropah.
Dengan penggunaan Piawaian Eropah ini, impak gegaran dari gempa bumi telah diatasi melalui pengesyoran yang dibuat dalam dokumen piawaian EN 1998-1:2004 Design of Structures for Earthquake Resistance.
Dalam perkara yang sama, Kerajaan Negeri Selangor pula telah mewartakan penggunaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) pindaan terbaru, di mana keperluan untuk mengambilkira impak dari gegaran gempa bumi telah diperuntukkan.
( Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor)