Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
164) GELANGGANG SUKAN
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat menambah gelanggang-gelanggang sukan untuk rakyat di setiap daerah?
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menyediakan serta membaikpulih kemudahan sukan seperti gelanggang futsal, gelanggang sepak takraw, gelanggang badminton dan bola jaring serta kemudahan sukan yang lain di Negeri Selangor untuk kegunaan semua golongan masyarakat setempat.
Berikutan, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000.00 bagi setiap DUN melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) masing-masing bagi Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Infrastruktur Sukan di peringkat DUN untuk semua Kemudahan Sukan di Negeri Selangor.
Di samping itu, Kerajaan Negeri sedang dalam tindakan untuk menyediakan kemudahan sukan untuk masyarakat dalam usaha untuk memastikan kemudahan sukan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk kegunaan masyarakat setempat. Justeru itu, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) sedang dalam usaha untuk mendapatkan inventori tersebut daripada pihak PBT memandangkan inventori tersebut adalah di bawah pemantauan dan kawal-selia pihak PBT masing-masing.
Seterusnya, dalam usaha untuk memastikan kemudahan sukan termasuk gelanggang futsal yang dibaikpulih dapat digunakan oleh golongan belia, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) perlu memantau dan mengawal selia kemudahan-kemudahan sukan tersebut dan memastikan ianya dalam keadaan baik dan dapat digunakan oleh masyarakat setempat.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan gelanggang-gelanggang futsal yang dibina sebelum ini agar dapat digunakan oleh golongan belia?
Sama seperti di SUB (a)
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai sebarang dana untuk mewujudkan satu litar motor rakyat di kawasan luar bandar untuk menangani budaya rempit dalam kalangan orang muda?
Kerajaan Negeri sentiasa peka dan maklum dalam menangani budaya merempit dalam kalangan anak muda. Namun begitu, setakat ini Kerajaan Negeri tiada sebarang dana bagi mewujudkan satu litar motor rakyat di kawasan luar bandar untuk menangani budaya ini. Hal ini demikian kerana ianya perlu melalui proses penelitian yang khusus dan melibatkan pelbagai aspek seperti aspek keselamatan, struktur tanah dan sebagainya. Walau bagaimanapun pada tahun 2015, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM186,740.00 untuk Projek Membaikpulih Litar Lumba Rakyat Kompleks Sukan Kuala Selangor untuk kegunaan anak muda dan dijadikan sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti permotoran.