Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

410) GELANGGANG FUTSAL

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah gelanggang futsal yang telah dibina dan dinaiktaraf oleh Kerajaan Negeri Selangor dari tahun 2020-2023? Sila senaraikan mengikut daerah.

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah menjalankan kerja membaikpulih, menaiktaraf dan membina baru infrastruktur sukan bagi memastikan kemudahan tersebut dalam keadaan baik dan boleh digunakan untuk masyarakat. Gelanggang futsal merupakan salah satu fasiliti sukan yang banyak dibina untuk kegunaan masyarakat kerana ianya merupakan sukan pilihan masyarakat di semua peringkat umur.

    Dari tahun 2020 hingga 2023, Kerajaan Negeri telah membaikpulih, menaiktaraf dan membina baru lebih 88 buah gelanggang futsal di seluruh Negeri Selangor dimana 11 buah gelanggang futsal di daerah Sabak Bernam, 8 buah gelanggang di Hulu Selangor, 11 buah gelanggang di Kuala Selangor, 28 gelanggang di Gombak, 4 gelanggang di Hulu Langat, 4 gelanggang di Petaling, 1 gelanggang di Klang, 8 gelanggang di Kuala Langat dan 13 gelanggang di Sepang seperti butiran dilampiran.

  2. Adakah Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan gelanggang terbabit? Jika ada, nyatakan jumlahnya.

    Kerajaan Negeri melihat keperluan penyelenggaraan fasiliti sukan adalah penting bagi memastikan fasiliti sukan tersebut sentiasa dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan bagi tempoh yang lama. Di samping itu, penyelenggaraan berkala juga penting bagi menjaga keselamatan pengguna semasa menggunakan fasiliti tersebut kerana kerosakan awal dapat dikenalpasti dan seterusnya baikpulih dapat dilakukan segera.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui PBT atau PDT telah memperuntukan sejumlah dana bagi menjalankan kerja penyelenggaraan fasiliti sukan termasuk gelanggang futsal namun pelaksanaanya adalah bergantung kepada peruntukan semasa. Peranan PBT atau PDT dalam menjalankan kerja penyelenggaraan sahaja tidak cukup sekiranya masih terdapat segelintir masyarakat yang masih melakukan aktiviti vandalisme di taman rekreasi dan permainan. Perkara ini menyebabkan fasilti sukan yang telah diselenggara atau dibina untuk kegunaan masyarakat mengalami kerosakan dan yang lebih membimbangkan lagi akan mengundang kecederaan.

    Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menyeru semua rakyat agar sama-sama menjaga fasiliti sukan yang telah disediakan ini agar manfaatnya dapat digunakan untuk kita semua.

Lampiran

Tiada Lampiran.