Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
76) GEJALA SOSIAL SEMAKIN SERIUS DAN GOLONGAN BELIA TURUT TERLIBAT
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah pertubuhan belia telah menikmati kemudahan peruntukan Kerajaan Negeri dalam kontak menangani masalah sosial?
Kerajaan Negeri tidak memberi peruntukan khusus kepada mana-mana pertubuhan atau persatuan belia. Setiap program yang dijalankan adalah terbuka kepada mana-mana pertubuhan atau persatuan serta individu belia yang berminat menyertai programprogram Kerajaan Negeri.
-
Adakah Kerajaan Negeri mengadakan pelan tindakan untuk menangani masalah sosial yang dihadapi oleh kaum belia ?
Dalam menangani jumlah kes – kes masalah gejala sosial yang semakin meningkat. Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelan tindakan khusus untuk menangani masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat di Negeri Selangor terutamanya bagi golongan belia yang menjadi aset pembangunan sesebuah negeri.
Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor telah merancang program yang menekankan kepada strategi dan pelaksanaan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang berterusan ke arah pembangunan sosial yang lebih baik. Antara pelan tindakan yang telah dilaksanakan ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Induk Mencegah Gejala Sosial Negeri Selangor, berperanan untuk menjadi agen yang dapat menghasilkan perancangan strategik dalam meningkatkan usaha menangani gejala sosial secara lebih efektif. Penubuhan Jawatankuasa Induk ini melibatkan pelbagai jabatan dan organisasi di Negeri Selangor seperti berikut :
- Pejabat Daerah / Tanah;
- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
- Polis Diraja Malaysia Selangor (PDRM);
- Institut Pengajian Tinggi (IPT);
- Agensi Dadah Kebangsaan Nrgeri Selangor (AADK);
- PEMADAM;
- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
- Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPN);
- Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS);
- Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS)
- Yayasan Selangor;
- Perbadanan Perpustakaan Negeri Selangor (PPAS);
Selain itu, Pentadbiran ini di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan telah melaksanakan satu Seminar Mencegah Gejala Sosial Negeri Selangor Tahun 2009 yang berlangsung selama dua ( 2 ) hari iaitu pada 24 hingga 25 Jun 2009. Tujuan Seminar ini diadakan adalah untuk mendapatkan maklum balas, cadangan serta resolusi bagi menangani gejala sosial di Negeri Selangor. Pentadbiran ini juga sedang merancang beberapa siri program mencegah gejala sosial untuk dilaksanakan pada tahun ini.