Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

34) GEJALA SOSIAL DI SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah seriusnya gejala sosial dan kesalahan moral berlaku di Selangor?

    Masalah sosial dan kesalahan moral merupakan satu fenomena yang melanda masyarakat masa kini bukan sahaja di Negeri Selangor malah seluruh negeri di Malaysia. Walaubagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa Negeri Selangor juga mencatat jumlah gejala sosial yang membimbangkan di mana pelbagai kes jenayah berlaku di Negeri Selangor. Mengikut rekod daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di antara tahun 2009 dan 2010 menunjukkan tahap keseriusan gejala sosial di Negeri Selangor. Jenayah Kekerasan mencatat jumlah yang agak membimbangkan di mana pada tahun 2009 sebanyak 41 015 kes dilaporkan dan pada tahun 2010 sehingga September jumlah kes dicatatkan sebanyak 35 651 kes.

    Kes pembuangan bayi yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2009 sebanyak 6 kes dan pada tahun 2010 sebanyak 8 kes direkodkan. Manakala bagi kes pengawasan penagih dadah dalam komuniti di Negeri Selangor mencatatkan peningkatan jumlah kes pengawasan pada tahun 2009 sebanyak 5141 kes dan meningkat sebanyak 6046 kes pada tahun 2010. Berdasarkan kepada statistik daripada Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan menunjukkan peningkatan kes gejala sosial di Negeri Selangor agak membimbangkan.

    Jadual 1

    Bil Jenis Jenayah 2009 2010
    1. Kes Pembuangan bayi 6 8
    2. Jenayah Kekerasan 8601 6680
    3. Jenayah Harta Benda 41015 35651
    4. Dadah

    (Kes Pengawasan Penagih)

    5141 6046
  2. Apakah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasinya?

    Kerajaan Negeri Selangor memandang serius mengenai masalah sosial yang melanda negeri ini. Satu Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial telah dilaksanakan di mana satu Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Peringkat Negeri Selangor telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh YB Dr Hajah Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Satu pelan tindakan menangani gejala sosial atau dikenali sebagai Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) telah dirangka khusus untuk program-program menangani gejala sosial.

    Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial disediakan sebagai panduan untuk melaksanakan tindakan menangani gejala sosial secara holistik dan bersepadu. Ianya meliputi semua aspek bagi memastikan tindakan menangani gejala sosial dapat dilaksanakan dengan berkesan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan Selangor sebagai Negeri Idaman, Maju, Sejahtera Dan Berkebajikan. Semua Program Menangani Gejala Sosial akan dikenali sebagai Program Generasi Idaman Selangor (GeMS). 

    Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) adalah satu langkah serius yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menangani isu gejala sosial yang melanda masyarakat di Negeri Selangor. Satu Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Peringkat Negeri Selangor yang di pengerusi oleh YB Dr Hajah Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

    Jawatankuasa yang bersifat konklusif akan diwujudkan di setiap daerah  yang melibatkan Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) , Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) , Jabatan Pelajaran Selangor, Pertubuhan Belia,Pertubuhan Wanita, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu bapa dab Guru (MPPBIG), Majlis Permuafakatan Tadika Selangor, Majlis Institusi Pendidikan Islam Selangor, Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor,  ketua-ketua kaum, Persatuan Pesara, kaunselor dan Agensi dan NGO,s yang berkaitan.

    Kerajaan Negeri bersetuju untuk menggunakan pendekatan bersepadu iaitu 5P :

    • Pembangunan (Development)
    • Pencegahan (Prevention)
    • Pencelahan (Intervention)
    • Penguatkuasaan (Enforcement)
    • Pemulihan             (Rehabilitation)
  3. Bagaimanakah kerajaan negeri menangani gejala ibu mengandung tanpa nikah dan buang bayi di Negeri Selangor?

    Di bawah Pelan Tindakan menangani gejala sosial Negeri Selangor satu program khas yang dirangka untuk mencegah berlakunya masalah ibu mengandung dan gejala membuang bayi dengan pelaksanaan Kempen Anti Zina yang telah dilancarkan pada 31 Ogos 2010 sempena sambutan Kemerdekaan yang lalu. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang Kempen Anti Zina seperti mengedarkan risalah mengenai kesan jika terjebak  dengan zina dan langkahlangkah menjauhi zina. Selain daripada itu, ops dakwah dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, RELA, Jabatan Agama Islam serta NGO bagi membanteras gejala sosial yang sering berlaku ketika sambutan sesuatu perayaan.

    Dalam perlaksanaan Kempen Anti Zina terdapat modul khas yang telah dirangka dan akan dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada aspek pendidikan akhlak kepada pesertanya. Program ini akan dilaksanakan di setiap daerah dan  golongan sasaran bagi program ini adalah pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia SPM.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.