Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

132) GARIS PANDUAN TAPAK PERKHEMAHAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Aktiviti perkhemahan menjadi semakin popular dan isu keselamatan telah menjadi isu utama yang diprihatini oleh warga Selangor. Adakah Kerajaan Negeri ini telah melakukan penambahbaikan terhadap garis panduan tapak perkhemahan?

    Tuan Speaker,

    Buat masa ini, tiada garis panduan khusus yang telah disediakan oleh mana-mana pihak berhubung pengurusan, pengoperasian tapak perkemahan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti di tapak perkhemahan. Walau bagaimapun, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan mengadakan bengkel penyediaan garis panduan tapak perkhemahan pada akhir bulan Januari 2023 yang lalu dan kini garis panduan tersebut sedang dalam proses penyediaan.

    Bengkel tersebut telah dihadiri oleh wakil daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran dan PBT. Sesi Town Hall bersama pengusaha-pengusaha aktiviti dan tapak perkhemahan juga telah diadakan semasa bengkel tersebut bagi memastikan pandangan pelbagai pemegang taruh dalam isu ini diambil kira.

    Seterusnya, penyediaan garis panduan tersebut akan melibatkan lebih banyak sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuklah PLANMalaysia di peringkat Kerajaan Persekutuan. Ini adalah bagi memastikan cadangan garis panduan yang akan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dapat diselaraskan dengan garis panduan di peringkat Kerajaan Persekutuan di mana bersesuaian.

Lampiran

Tiada Lampiran.