Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

260) GARIS PANDUAN PENGUBAHSUAIAN RUMAH TERES KEPADA ASRAMA PELAJAR/AIRBNB

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan status penggubalan Garis Panduan Pengubahsuaian Rumah Teres kepada Asrama Pelajar/AirBnB.

    Draf Garis Panduan Asrama Pelajar Negeri Selangor dan Garis Panduan Bagi Menjalankan Aktiviti Penginapan Jangka Pendek di Bangunan Kediaman telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Bilangan 3/2020 pada 13 Oktober 2020. Pada masa ini, kedua-dua garis panduan tersebut masih dalam proses penelitian dan belum dimuktamadkan.

  2. Sila nyatakan intipati garis panduan tersebut.

    Antara intipati draf Garis Panduan Asrama Pelajar Di Negeri Selangor adalah:

     

    • Peruntukan Perundangan;
    • Asas-asas Perancangan Tapak;
    • Kriteria yang perlu dipatuhi;
    • Garis Panduan dan Piawaian Perancangan;
    • Zon Guna Tanah;
    • Lokasi Perletakan;
    • Jenis Premis;
    • Saiz Ruang Lantai;
    • Bilangan Bilik;
    • Penempatan Asrama;
    • Tempat Letak Kenderaan; dan
    • Kemudahan Sokongan: Ruang Solat.

     

    Garis panduan ini juga akan mengambilkira perkara-perkara yang berkaitan berikut :

     

    • Tindakan Penguatkuasaan Aktiviti di tapak;
    • Agensi melulus dan kaedah kelulusan; dan
    • Kawalan lain yang berkaitan masa dan tempoh operasi.

     

    Bagi Garis Panduan Penginapan Jangka Pendek pula, antara intipati adalah seperti berikut:

     

    • Perundangan;
    • Aspek Premis yang dibenarkan;
    • Pendaftaran dan kelulusan;
    • Keselamatan;
    • Kacau ganggu;
    • Operasi;
    • Percukaian;
    • Penguatkuasaan; dan
    • Perancangan

     

    Kerajaan Negeri bersama-sama PBT masih meneliti kaedah yang sesuai mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengawal dan mempertimbang untuk melesenkan aktiviti Penginapan Jangka Pendek. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang menyemak untuk memudahcara aktiviti perniagaan ini.

  3. Sila nyatakan stakeholders yang telah dilibat urus untuk tujuan penghasilan garis panduan ini.

    Garis Panduan Asrama Pelajar Negeri Selangor telah dipertanggungjawabkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) manakala Garis Panduan Bagi Menjalankan Aktiviti Penginapan Jangka Pendek di Bangunan Kediaman diketuai oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Kedua-dua garis panduan tersebut melibatkan semua PBT Negeri Selangor, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor (JPBD) Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.