Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
57) GARIS PANDUAN PENGASUH
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Syarat-syarat bagi pengasuh beroperasi di rumah di peringkat PBT didapati terlalu ketat dan pada standard yang serupa dengan taska. Adakah kerajaan bersedia menyemak semula syarat-syarat tersebut?
Untuk makluman Yang Berhormat Subang Jaya, prosedur pendaftaran TASKA di Rumah telah diselaraskan dengan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. Semua TASKA yang berdaftar di bawah Akta 308 hendaklah mematuhi syarat yang ditetapkan di dalam Akta ini dan setiap TASKA adalah tertakluk kepada undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing. Semua permohonan TASKA di Rumah perlu mendapatkan sokongan daripada tiga (3) agensi teknikal sebelum permohonan pendaftaran diluluskan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri. Agensi-agensi teknikal tersebut adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan.
Syarat-syarat bagi pengasuh beroperasi di rumah di peringkat PBT didapati terlalu ketat dan pada standard yang serupa dengan taska. Kerajaan Negeri bersedia membuat semakan semula syarat-syarat berkaitan bagi tujuan penyeragaman dan memudahkan urusan permohonan selain menggalakkan pendaftaran para pengusaha Taska di Rumah.
Sebagai makluman bersama, satu Sesi Libat Urus Isu Pendaftaran Taska Di Rumah Bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diadakan pada 6 Mac 2023 yang lalu. Selain penglibatan 12 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor, agensi yang turut dilibatkan adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam bidang penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak bagi mengenalpasti isu berkaitan garis panduan, perancangan, keperluan teknikal melibatkan pendaftaran TASKA di Rumah di negeri Selangor. Sesi libat urus ini adalah merupakan inisiatif awal yang dizahirkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mencari alternatif yang bersesuaian untuk membantu memudahkan dan menyeragamkan syarat-syarat permohonan pengusaha TASKA di Rumah meliputi semua aspek.
Rentetan daripada sesi libat urus ini, perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperincikan cadangan garis panduan yang bersesuaian untuk pendaftaran TASKA di Rumah di negeri Selangor dengan mengambilkira keperluan semasa bagi membentuk ekosistem penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang aksesibel, mampu dan berkualiti untuk keluarga di Selangor.