Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

201) GARIS PANDUAN KESEIMBANGAN POPULASI

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat garis panduan atau had pembangunan untuk mengekalkan keseimbangan antara populasi dan alam sekitar?

    i. Mengekalkan keseimbangan antara polulasi manusia dan alam sekitar merupakan salah satu cabaran utama perancangan. Walaupun pada masa ini belum ada lagi sebarang garis panduan khusus berkenaan dengan had pembangunan bagi mengekalkan keseimbangan antara populasi dan alam sekitar, namun kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam usaha mencapai keseimbangan ini antaranya—

    • Pengurusan Sumber Alam Secara Lestari

    Ini adalah adalah antara usaha kerajaan dalam memastikan sumber jaya alam seperti air, tanah dan hutan digunakan secara berhemah dan tidak berlebihan. Penggunaan teknologi hijau dan teknik pertanian dapat membantu mengekalkan sumber ini untuk generasi yang akan datang.

    • Ekonomi Lestari

    Menggalakkan pembangunan industri dan perniagaan yang mesra alam seperti tenaga boleh diperbaharui, pertanian organik dan pengeluaran produk dengan jejak karbon yang rendah.

    • Pelestarian Ekosistem dan Kepelbagaian Biologi

    Menubuhkan kawasan perlindungan alam bagi kawasan kawasan tertentu seperti hutan simpan taman marin bagi membantu mengekalkan biodiversiti dan ekosistem semulajadi. Pada masa yang sama mengambil langkah untuk memulihkan habitat yang telah rosak, contohnya melalui penanaman semula hutan dan lain lain usaha yang menyokong biodiversiti.

    • Pengurangan Pencemaran

    Menambahbaik pengurusan sisa pepejal, air dan udara bagi mengurangkan pencemaran yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

    • Penyelidikan dan Inovasi Teknologi

    Inovasi dalam teknologi yang mesra alam seperti kenderaan elektrik, tenaga solar dan sistem pengairan cakap air dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar yang disebabkan peningkatan populasi.

    ii. Pada masa yang sama, di dalam rancangan tempatan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan turut ada menyatakan had sempadan bandar bagi sesebuah kawasan perbandaran serta kawasan yang berpotensi untuk mengalami rebakan bandar (urban sprawl).

    iii. Kawalan kepada zon guna tanah adalah penting dalam merancang keperluan masa hadapan bagi sesebuah kawasan terutama bagi menarik penjanaan penduduk di sesebuah kawasan. Pengezonan guna tanah di dalam rancangan tempatan mengambilkira tahap risiko kepada alam sekitar serta kesan daripada pembangunan baharu akan dilaksanakan.

    iv. Oleh yang demikian keseimbangan antara populasi dan alam sekitar boleh dikekalkan melalui suntikan inisiatif pembangunan mampan dan pintar dalam merancang keperluan masa hadapan.

    v. Dengan pendekatan yang menyeluruh, mengutamakan keberlanjutan dalam semua aspek kehidupan, kita mampu mencapai keseimbangan yang lebih baik di antara populasi penduduk dan alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.