Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

229) GARIS PANDUAN KAWASAN KEJIRANAN BERPAGAR (GATED NEIGHBOURHOOD)

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perancangan menggubal satu garis panduan kawasan kejiranan berpagar yang jelas dan seragam untuk seluruh Negeri Selangor supaya tidak menghalang mana-mana komuniti yang mahu mangambil langkah untuk memastikan keselamatan rumah dan keluarga mereka.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengeluarkan Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2016 berkenaan Garis Panduan Skim Perumahan Berpengawal (Guarded Community) Di Negeri Selangor (Penambahbaikan 2016) yang berkuatkuasa pemakaiannya pada 1 September 2016.

    Garis Panduan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 20/2016 bertarikh 15 Jun 2016 dan telah disahkan oleh MMKN Ke 21/2016 bertarikh 23 Jun 2016 bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang telah diluluskan oleh MMKN Ke 19/2010 pada 2 Jun 2010 dan disahkan oleh MMKN Ke 20/2010 pada 9 Jun 2010.

    Penambahbaikan Garis Panduan Skim Perumahan Komuniti Berpengawal (‘Guarded Community’) turut mengambil kira Garis Panduan Perancangan ‘Gated Community and Guarded Neighbourhood’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBD) di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah dikeluarkan pada September 2010.

    Tujuan penyediaan Garis Panduan ini adalah bertujuan untuk pematuhan kepada undang-undang (‘compliance of law’) yang memberikan kebenaran penutupan jalan awam selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu (i) Kanun Tanah Negara 1965, (ii) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133]; (iii) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], (iv) Akta Kerajaan tempatan 1976 [Akta 171] , (v) Perjanjian Jualbeli, di bawah Jadual G, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Akta Ejensi Persendirian 1971 (Akta 27). Sekiranya tiada garis panduan khusus disediakan dan isu-isu berbangkit berkenaan pelaksanaan ini tidak ditangani secara berhemah, ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada penduduk itu sendiri tetapi juga akan mengakibatkan visual yang kurang menarik sesuatu bandar.

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat 4 perkara utama yang dibuat penambahbaikan / pindaan ke atas garis panduan tersebut iaitu,

     

    1. Penghalang hanya dibenarkan beroperasi dari jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Pertimbangan boleh diberikan sekiranya penghalang ditutup 24 jam dengan syarat terdapat pengawal keselamatan yang sentiasa bertugas selama 24 jam secara bergilir-gilir dan membuka halangan apabila diperlukan pada bila-bila masa.

     

    1. Penggunaan Kad Akses (automatik) hanya boleh dibenarkan sekiranya penyertaan 100% penduduk atau difikirkan wajar mengikut kesesuaian PBT / PTD berkaitan bagi Skim ‘Guarded Community ‘untuk mengelakkan isu dan permasalahan dikemudian hari.

     

    1. Binaan pondok pengawal sahaja dibenarkan dan saiz adalah 6 kaki x 8 kaki atau saiz lain yang difikirkan sesuai oleh PBT dan kemudahan-kemudahan lain adalah tertakluk kepada kelulusan PBT.

     

    1. Dilarang sama sekali membina tembok / pagar (‘fencing’) yang mengelilingi kawasan pembangunan kecuali disebabkan faktor keselamatan seperti terdapatnya parit besar, sungai dan lebuh raya dengan kelulusan PTD / PBT dan spesifikasi perlu mendapat kelulusan PBT terlebih dahulu.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, selain daripada Garis Panduan Dasar yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri, terdapat beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sedang dan telah mengeluarkan Garis Panduan terperinci mengikut kesesuaian masing-masing seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Lampiran

Tiada Lampiran.