Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

62) GANGGUAN SEKSUAL

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah polisi dan undang-undang serta mekanisme yang sedia ada di peringkat Kerajaan Negeri Selangor bagi mengendalikan kes gangguan seksual?

    Dalam aspek perlindungan orang awam daripada gangguan seksual, sebagaimana negeri-negeri lain, negeri Selangor turut terikat dengan peruntukan Kanun Keseksaan. Walau bagaimanapun, gangguan seksual tidak diperuntukkan secara spesifik sebagai satu kesalahan jenayah dalam Kanun Keseksaan.

    Peruntukan undang-undang yang paling hampir dengan gangguan seksual ialah Seksyen 509 Kanun Keseksaan di mana adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu “…mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukan apa-apa benda”.

    Selain Seksyen 509, satu lagi seksyen yang relevan ialah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk “menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatannya.”

    Di peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri, gangguan seksual di kalangan pegawai awam negeri merupakan satu pelanggaran tatakelakuan yang serius dan satu subperaturan telah diwujudkan secara khusus (iaitu subperaturan 4A) melalui pindaan pada tahun 2006 kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995.

    Kategori gangguan seksual yang diperuntukkan dalam Peraturan 4A, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ialah cubaan untuk merapati orang lain secara seksual, meminta layanan seksual daripada orang lain, gangguan seksual yang mengugut dan gangguan seksual yang menyinggung atau menghina. Pegawai-pegawai yang dilaporkan melakukan kesalahan ini terdedah kepada tindakan tatatertib sehingga membawa kepada hukuman buang kerja.

    Mekanisme yang lengkap bagi menguruskan kes-kes gangguan seksual di Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri adalah diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 Tahun 2005 “Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam”. Secara ringkasnya, mekanisme yang diperuntukkan kepada Pengadu yang berhadapan dengan gangguan seksual adalah seperti berikut: 1) Tidak Mengambil Apa-Apa Tindakan

    Tindakan ini boleh diambil sekiranya gangguan seksual tersebut telah dihentikan dan Pengadu tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Keputusan yang dibuat secara sukarela oleh Pengadu adalah sah dan hendaklah dihormati.

    • Mendapatkan Maklumat Atau Bantuan Untuk Menyelesaikan Kes Secara Tidak Rasmi

    Pengadu yang tidak pasti sama ada gangguan seksual telah terjadi ke atasnya atau jika Pengadu mempercayai dirinya telah mengalami gangguan seksual tetapi tidak pasti apakah tindakan yang boleh diambil, boleh:

    • menghubungi Kaunselor, Pegawai Kaunseling, pegawai atasan atau agensi-agensi yang mengendalikan isu gangguan seksual untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat;
    • setelah mendapat maklumat yang lengkap, Pengadu boleh menyelesaikan kes gangguan seksual dengan cara bersemuka dengan Pegawai Yang Disyaki Mengganggu dan menyatakan dengan tegas, jelas dan berterus terang bahawa perlakuan tersebut telah menyebabkan Pengadu berasa tersinggung, terhina atau terugut dan ia perlu dihentikan segera; dan
    • Pengadu boleh meminta bantuan Kaunselor atau Pegawai Kaunseling agar hadir bersamanya ketika Pengadu bersemuka dengan Pegawai Yang Disyaki Mengganggu.
    • Membuat Aduan Rasmi Kepada Kaunselor Atau Pegawai Kaunseling

    Sekiranya pengadu bercadang untuk membuat aduan rasmi kepada Kaunselor atau Pegawai Kaunseling, langkah-langkah yang perlu ialah:

    • mengenal pasti Pegawai Yang Disyaki Mengganggu sama ada Pegawai Yang Disyaki Mengganggu adalah rakan sekerja atau pegawai atasan;
    • menyimpan apa-apa nota, e-mel, foto, SMS, MMS dan lain-lain dokumen atau benda yang diterima daripada Pegawai Yang Disyaki Mengganggu sebagai bahan bukti. Perlu diingatkan bahawa dokumen atau benda yang diterima tersebut tidak boleh diubahsuai untuk menjaga rantaian keterangan bahan bukti tersebut;

    (i) membuat catatan atau merekodkan kejadian tersebut (sekiranya Pegawai yang mengganggu adalah pegawai penyelia atau Ketua Jabatan dan Pegawai berasa takut untuk berterus terang) agar dapat dijadikan sebagai bahan bukti apabila diperlukan;

    • memaklumkan kejadian gangguan seksual tersebut kepada pihak ketiga, walau bagaimanapun jumlah orang yang dimaklumkan mengenai kejadian haruslah dihadkan kepada seminimum yang mungkin untuk menjaga kerahsiaan dan maruah kedua-dua pihak;
    • mengenal pasti Pegawai lain yang melihat kejadian yang berlaku agar Pegawai berkenaan boleh dipanggil untuk memberi keterangan apabila diperlukan; dan
    • mendapatkan perkhidmatan kaunseling di tempat Pegawai Awam bertugas atau di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sekiranya Pegawai mengalami kesan negatif akibat daripada gangguan seksual.
    • Membuat Laporan Rasmi Untuk Tujuan Tindakan Tatatertib

    Sekiranya Pengadu bercadang untuk membuat aduan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tatatertib:

    • Pengadu boleh terus membuat laporan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tatatertib mengenai kejadian gangguan seksual supaya tindakan tatatertib diambil terhadap Pegawai Yang Disyaki Menganggu. Dalam keadaan ini, prosedur tatatertib biasa adalah terpakai.
    • Membuat Laporan Polis

    Sekiranya perbuatan gangguan seksual itu terjumlah kepada kesalahan jenayah, seperti mencabul kehormatan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, meminta layanan seksual sebagai suapan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan sebagainya, Pengadu hendaklah terus membuat laporan kepada polis atau agensi yang bertanggungjawab.

  2. Apakah jumlah kes gangguan seksual yang diterima dan diselesaikan mengikut pecahan agensi/jabatan Kerajaan Negeri bagi tahun 2008-2014?

    Berdasarkan rekod yang dikemas kini sehingga 6 Jun 2014, sejumlah lima (5) kes gangguan seksual telah dilapor dan diambil tindakan di Jabatan / Agensi Kerajaan dalam tempoh 2009 hingga kini. Perincian jumlah kes mengikut tahun adalah seperti berikut:

    Bil. Tahun Bilangan Kes
    1. 2009 2
    2. 2010 1
    3. 2011 0
    4. 2012 0
    5. 2013 2
      Jumlah keseluruhan 5

    Kesemua kes ini telah diuruskan dan diselesaikan mengikut tatacara yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 Tahun 2005 “Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam”.

  3. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan kesedaran awam tentang gangguan seksual?

    Pelbagai program yang telah dan akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dalam menangani masalah gangguan seksual dan meningkatkan kesedaran awam terhadap isu gangguan seksual ini.

    Di bawah Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor, Program ‘Women Against Crime (WAC)’ telah dianjurkan bagi menangani masalah jenayah termasuk gangguan seksual melibatkan wanita.

    Selain itu, Jawatankuasa Induk Gejala Sosial juga telah mengadakan program seperti Program Jelajah Generasi Idaman Selangor (GEMS) di beberapa daerah bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap peri pentingnya menangani jenayah secara bersama dan membentuk generasi muda yang berakhlak tinggi. Pada tahun 2014 ini, sebanyak tiga (3) siri program GEMS yang telah dianjurkan iaitu masing-masing di daerah Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Langat.

    Jawatankuasa Induk Gejala Sosial juga telah mengadakan Program Anti Zina yang mengenal pasti ‘hotspot’ dan membanteras aktiviti-aktiviti tidak bermoral di kawasan awam.  Program ini mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai Jabatan / Agensi Kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.