Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012

45) GANGGUAN SEKSUAL

Tahun: 2012

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor mengikut sektor awam dan swasta bagi tahun 2007-2012.

    Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selaku urus setia induk bagi memantau keseluruhan kes-kes tatatertib yang dilaporkan oleh Jabatan / Agensi di Negeri Selangor telah merekodkan sebanyak 2 kes gangguan seksual pada tahun 2009 dan 1 kes gangguan seksual pada tahun 2010. Walau bagaimanapun, Pentadbiran ini mengakui terdapat kemungkinan ada kes-kes gangguan seksual yang tidak dilaporkan memandangkan Pentadbiran ini ada menerima panggilan-panggilan dari semasa ke semasa daripada pegawai-pegawai yang bertanya mengenai prosedur-prosedur dan langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya berhadapan dengan kes-kes seumpama ini.

    Pentadbiran ini tidak mempunyai statistik berhubung jumlah kes gangguan seksual yang berlaku di dalam sektor swasta di negeri Selangor. Walau bagaimanapun, bagi syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLCs), tiada kes yang dilaporkan bagi tahun 2007-2012.

  2. Apakah mekanisme yang diwujudkan dalam Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan kes gangguan seksual?

    Gangguan seksual di kalangan pegawai awam negeri merupakan satu pelanggaran tatakelakuan yang serius yang mana satu subperaturan telah diwujudkan secara khusus (iaitu subperaturan 4A) melalui pindaan pada tahun 2006 kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995. Pegawai-pegawai yang dilaporkan melakukan kesalahan ini terdedah kepada tindakan tatatertib sehingga membawa kepada hukuman buang kerja.

    Mekanisme yang lengkap bagi menguruskan kes-kes gangguan seksual di Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri adalah diperuntukkan di bawah

    Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 Tahun 2005 “Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam”. Secara ringkasnya, mekanisme yang diperuntukkan kepada Pengadu yang berhadapan dengan gangguan seksual adalah seperti berikut:-

    • Tidak Mengambil Apa-Apa Tindakan

    Tindakan ini boleh diambil sekiranya gangguan seksual tersebut telah dihentikan dan Pengadu tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Keputusan yang dibuat secara sukarela oleh Pengadu adalah sah dan hendaklah dihormati.

    • Mendapatkan Maklumat Atau Bantuan Untuk Menyelesaikan Kes Secara Tidak Rasmi

    Pengadu yang tidak pasti sama ada gangguan seksual telah terjadi ke atasnya atau jika Pengadu mempercayai dirinya telah mengalami gangguan seksual tetapi tidak pasti apakah tindakan yang boleh diambil, boleh:

    • menghubungi Kaunselor, Pegawai Kaunseling, pegawai atasan atau agensi-agensi yang mengendalikan isu gangguan seksual untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat;
    • setelah mendapat maklumat yang lengkap, Pengadu boleh menyelesaikan kes gangguan seksual dengan cara bersemuka dengan Pegawai Yang Disyaki Mengganggu dan menyatakan dengan tegas, jelas dan berterus terang bahawa perlakuan tersebut telah menyebabkan Pengadu berasa tersinggung, terhina atau terugut dan ia perlu dihentikan segera; dan
    • Pengadu boleh meminta bantuan Kaunselor atau Pegawai Kaunseling agar hadir bersamanya ketika Pengadu bersemuka dengan Pegawai Yang Disyaki Mengganggu.
    • Membuat Aduan Rasmi Kepada Kaunselor Atau Pegawai Kaunseling

    Sekiranya Pengadu bercadang untuk membuat aduan rasmi kepada Kaunselor atau Pegawai Kaunseling, langkah-langkah yang perlu ialah:

    • mengenal pasti Pegawai Yang Disyaki Menganggu sama ada Pegawai Yang Disyaki Menganggu adalah rakan sekerja atau pegawai atasan;
    • menyimpan apa-apa nota, e-mel, foto, sms, mms dan lainlain dokumen atau benda yang diterima daripada Pegawai Yang Disyaki Menganggu sebagai bahan bukti. Perlu diingatkan bahawa dokumen atau benda yang diterima tersebut tidak boleh diubahsuai untuk menjaga rantaian keterangan bahan bukti tersebut;
    • membuat catatan atau merekodkan kejadian tersebut (sekiranya Pegawai yang mengganggu adalah pegawai penyelia atau Ketua Jabatan dan Pegawai berasa takut untuk berterus terang) agar dapat dijadikan sebagai bahan bukti apabila diperlukan;
    • memaklumkan kejadian gangguan seksual tersebut kepada pihak ketiga, walau bagaimanapun jumlah orang yang dimaklumkan mengenai kejadian haruslah dihadkan kepada seminimum yang mungkin untuk menjaga kerahsiaan dan maruah kedua-dua pihak;
    • mengenal pasti Pegawai lain yang melihat kejadian yang berlaku agar Pegawai berkenaan boleh dipanggil untuk memberi keterangan apabila diperlukan; dan
    • mendapatkan perkhidmatan kaunseling di tempat Pegawai Awam bertugas atau di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sekiranya Pegawai mengalami kesan negatif akibat daripada gangguan seksual.
    • Membuat Laporan Rasmi Untuk Tujuan Tindakan Tatatertib

    Sekiranya Pengadu bercadang untuk membuat aduan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tatatertib:

    (i) Pengadu boleh terus membuat laporan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tatatertib mengenai kejadian gangguan seksual supaya tindakan tatatertib diambil terhadap Pegawai Yang Disyaki Menganggu. Dalam keadaan ini, prosedur tatatertib biasa adalah terpakai.

    • Membuat Laporan Polis

    Sekiranya perbuatan gangguan seksual itu terjumlah kepada kesalahan jenayah, seperti mencabul kehormatan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, meminta layanan seksual sebagai suapan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan sebagainya, Pengadu hendaklah terus membuat laporan kepada polis atau agensi yang bertanggungjawab.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.