Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

281) GANGGUAN BEKALAN AIR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kekerapan gangguan mengikut daerah bagi tahun 2022 berbanding tahun 2023.

    Terdapat dua (2) kategori gangguan bekalan air iaitu gangguan berjadual dan gangguan tidak berjadual. Gangguan berjadual adalah melibatkan kerja-kerja penambahbaikan aset, pencucian kolam air, pengalihan paip, penggantian dan penyengggaraan sistem paip. Pengguna akan diberikan notis makluman awal sebelum gangguan berjadual dilaksanakan supaya pengguna lebih bersedia untuk menyimpan air secukupnya. Gangguan berjadual perlu dilaksanakan bagi memastikan aset air sentiasa berada dalam keadaan baik. Manakala, gangguan tidak berjadual disebabkan oleh faktor luar kawalan seperti bencana alam (kemarau, banjir, tanah runtuh), pencemaran sumber bekalan air mentah (sungai / takungan), masalah teknikal di loji rawatan air dan rumah pam, serta paip pecah yang melibatkan kerja pembaikan secara kecemasan. Jumlah gangguan pada tahun 2022 adalah 2,818 kes berbanding tahun 2023 dengan 3,134 kes. Namun, peningkatan kes tersebut adalah bagi gangguan berjadual dengan 692 kes. Bagi gangguan tidak berjadual, terdapat penurunan sebanyak 376 kes iaitu daripada 1,787 kes kepada 1,411 kes. Sehubungan itu, bagi mengurangkan gangguan bekalan air berjadual dan tidak berjadual, Air Selangor telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif, antaranya:

     

    1. Membentuk Zon Kawalan Tekanan bagi mengekang dan mengurangkan kejadian paip pecah yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air.
    2. Melaksanakan Program Penggantian Paip usang secara berperingkat.
    3. Melaksanakan Program Rehabilitasi Kolam dan Rumah Pam untuk meningkatkan tahap simpanan air.
    4. Menggerakkan Pasukan Khas untuk memantau secara berkala di pelbagai lokasi projek pembangunan oleh pihak ketiga lebih-lebih lagi yang melibatkan jajaran paip utama yang boleh menyumbang kepada paip pecah.
    5. Memasang pengesan pintar (intelligent sensor dan pressure transient) di sepanjang paip utama untuk mengesan lonjakan tekanan dan kebocoran paip melalui maklumat yang akan disalurkan ke Pusat Kawalan Pintar untuk tindakan segera.

Lampiran

Tiada Lampiran.