Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
224) GANGGUAN BEKALAN AIR
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Gangguan bekalan air telah melanda beberapa kawasan di DUN Dengkil baru- baru ini. Nyatakan kronologi peristiwa bagaimana perkara ini berlaku?
Kejadian henti tugas loji penapis air (LPA) Bukit Tampoi dan LPA Batu 11
Cheras adalah berpunca dari pencemaran sumber air mentah dari Sungai Langat. Pencemaran tersebut adalah disebabkan oleh kandungan ammonia yang melebihi paras yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sumber-sumber ammonia di dalam sungai adalah :-
- baja untuk pembangunan-pembangunan tanah dan pertanian.
- tapak pelupusan sampah leachate dan pembangunan tanah yang tidak terkawal.
- kumbahan yang tidak dirawat daripada penternakan ayam itik, rumahrumah setinggan di tepi sumber air, tangki-tangki septik, kilang-kilang, tandas-tandas sementara di tapak-tapak pembinaan.
- air kumbahan yang dilepaskan daripada kawasan-kawasan perumahan, komersil, institusi dan kemudahan-kemudahan berkaitan.
- pelepasan air kumbahan dan bahan-bahan kimia bertoksik daripada pelbagai industri.
- aliran air di permukaan disebabkan oleh hujan lebat
- minyak dan air kumbahan daripada bilik-bilik air dan dapur
- efluen loji olahan kumbahan perbandaran
Pada ketika ini, piawaian untuk air mentah bagi loji-loji pembersihan air (LPA) iaitu Kualiti Air Mentah adalah ditetapkan oleh Jabatan Bekalan Air, Malaysia di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA). Pensampelan untuk menganalisis kualiti air ini adalah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kekerapan sekali pensampelan setiap bulan. Piawaian yang telah ditetapkan adalah seperti berikut :
BIL PARAMETER UNIT STANDARD 1. Total Coliform CFU / 100 ml 5000 / 100 ml 2. Ph – 5.5 – 9.0 3. Kekeruhan (Turbidity) NTU 1000 4. Warna (Colour) TCU 300 5. Keperluan Oksigen Kimia (COD) mg / L 10 6. Mangan (Mn) mg / L 0.2 7. Keperluan Oksigen Biokimia (BOD)
mg / L 6 8. Ammonia mg / L 1.5 9. Ferum mg / L 1.0 Di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 ditetapkan piawaian kadar efluen yang dilepaskan ke hulu sungai hendaklah menepati Piawaian A manakala efluen yang dilepaskan ke hilir sungai menepati Piawaian B seperti berikut:-
Piawaian BOD (mg/L) SS (mg/L) A 20 50 B 50 100 BOD adalah ukuran kandungan oksigen yang diserap oleh bahan kumbahan dalam tempoh masa tertentu. Kandungan BOD tinggi adalah ketara kerana ia menunjukkan bahan kumbahan itu akan menyerap oksigen di sungai dan tasik dengan pantas, dan ini akan membunuh hidupan laut, membuatkan air menjadi septik dan berbau busuk. SS adalah ukuran bahan-bahan tidak larut di dalam kumbahan. Kandungan SS yang tinggi akan menyebabkan penyimpanan enapcemar di perairan, dan ini akan menyebabkan kemerosotan yang ketara kepada persekitaran.
Setakat ini, masih tiada piawaian untuk pelepasan ammoniacal nitrogen dan semua loji olahan kumbahan yang terdapat di Malaysia tidak direkabentuk untuk menyingkirkan ammoniacal nitrogen. Walau bagaimanapun, secara purata, lojiloji olahan kumbahan awam adalah mematuhi keperluan-keperluan Piawaian “A” dan “B” seperti berikut:
Parameter Standard A (mg/L) Standard B (mg/L) Suhu (Celcius) 40 40 Nilai pH 6.0 – 9.0 5.5 – 9.0 Permintaan Oksigen Biologi 20 50 Permintaan Oksigen Kimia 50 100 Pepejal Terampai 50 100 Ammoniacal Nitrogen 15 25 Ammoniacal nitrogen di dalam efluen yang dilepaskan daripada loji-loji olahan kumbahan akan cair secara perlahan-lahan di dalam perairan dan seterusnya menjadi sebatian yang kurang toksik.
Walaupun pelepasan efluen dari loji kumbahan menepati piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, namun disebabkan oleh cuaca kering melampau dan ketiadaan hujan semenjak Januari 2014 lalu, telah mengakibatkan tidak berlakunya Kebolehan “penulenan-sendiri” sumber air sungai hingga menyebabkan sumber air di Sungai Langat meningkat kandungan ammonia dan mengakibatkan loji rawatan air di Bukit Tampoi dan Loji Batu 11 Cheras tidak berupaya merawat air mentah yang tinggi yang melebihi 1.5ppm tersebut.
Biasanya, loji rawatan air sisa, termasuk kumbahan yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar hanya merawat 23 bahan cemar air, yang merangkumi dua parameter sisa organik, pepejal terampai, parameter fizikal, bahan kimia dan logam berat. Dari segi perundangan, bahan-bahan organik seperti ammonia, nitrat, nitrit dan fosforus tidak termasuk dalam senarai yang perlu disingkirkan.
Sehubungan itu, hampir semua loji kumbahan dan sisa industri di Malaysia tidak direka bentuk untuk merawat ammonia dan bahan-bahan yang tidak tersenarai dalam Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Efluen Industri) 1979.
Air sungai yang mengandungi kandungan ammonia melebihi 1.5 miligram seliter tidak sesuai dijadikan sumber air minuman. Ini kerana operator loji rawatan air terpaksa menggunakan bahan kimia yang banyak yang pasti meningkatkan kos operasi.
Kejadian henti tugas loji tersebut berlaku semenjak akhir Januari 2014 dan masih belum pulih sepenuhnya hingga hari ini disebabkan oleh keadaan cuaca kering yang melampau di samping kadar hujan yang sangat minimum.
-
Nyatakan sistem dan sumber bekalan air bagi kawasan DUN Dengkil?
Kawasan DUN Dengkil mengdapat bekalan air dari Loji Rawatan Air Bukit Tampoi dan juga Loji Rawatan Air Sungai Langat. Sistem bekalan air bagi menampung permintaan di Kawasan DUN Dengkil adalah sama seperti di kawasan-kawasan DUN lain di mana air dari sungai dirawat dan diproses oleh Loji Rawatan Air dalam hal DUN Dengkil oleh Loji Rawatan Air yang dikendalikan oleh Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan selepas itu diagihkan kepada pengguna oleh SYABAS, operator agihan tunggal di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
-
Apakah tindakan jangka pendek dan panjang bagi memastikan ia tidak berulang?
Faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan paras ammonia dan menyebabkan pencemaran sumber air mentah adalah disebabkan oleh:-
- baja untuk pembangunan-pembangunan tanah dan pertanian.
- tapak pelupusan sampah leachate dan pembangunan tanah yang tidak terkawal.
- kumbahan yang tidak dirawat daripada penternakan ayam itik, rumahrumah setinggan di tepi sumber air, tangki-tangki septik, kilang-kilang, tandas-tandas sementara di tapak-tapak pembinaan.
- air kumbahan yang dilepaskan daripada kawasan-kawasan perumahan, komersil, institusi dan kemudahan-kemudahan berkaitan.
- pelepasan air kumbahan dan bahan-bahan kimia bertoksik daripada pelbagai industri.
- aliran air di permukaan disebabkan oleh hujan lebat
- minyak dan air kumbahan daripada bilik-bilik air dan dapur
- efluen loji olahan kumbahan perbandaran
Malaysia umumnya, bagi merawat efluen yang dilepaskan oleh loji kumbahan, sistem-sistem rawatan utama yang digunakan secara menyeluruh adalah tangki septik komunal, tangki Imhoff dan sistem-sistem kos rendah seperti kolam-kolam pengoksidaan. Sebagai tambahan, kawasan bandar yang besar adalah menggunakan Tangki Septik Individu (IST) dan terdapat lebih daripada sejuta tangki septik individu di Malaysia.
Tangki-tangki ini hanya merawat kumbahan secara separa, melepaskan efluen yang masih mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi. Ini berpotensi untuk mengakibatkan masalah kesihatan awam dan persekitaran, terutamanya di kawasan bandar.
Indah Water Konsortium (IWK) bertanggungjawab untuk merancang dan merasionalisasikan kemudahan-kemudahan pembetungan awam untuk mengurangkan loji-loji olahan yang menggunakan “konsep berbilang titik” atau serantauan. Akhirnya, rangkaian paip-paip pembetungan akan dibina di kawasan bandar yang menggunakan IST dan menyalurkan kumbahan ke kemudahan rawatan sekunder yang moden.
Memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan pelbagai usaha telah diambil bagi tujuan tersebut. Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah melalui Pelaksanaan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), seperti Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Selangor (2007-2012) yang mana antara polisi utama pelan ini adalah ‘Memastikan Air Bersih’ dan ‘Memastikan Air Mencukupi’.
Selain itu, bagi memelihara sumber air dan lembangan sungai yang membekalkan sumber air negeri, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:
- Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam,
- Jawatankuasa Pasukan Petugas Pengawalan Pencemaran Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
- Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
Selain itu, sekiranya sesuatu pencemaran sungai berlaku, Jawatankuasa
Kecemasan Pencemaran Sumber Air yang diurusetiakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan dianggotai oleh jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat konsesi operator air yang berkenaan akan membuat siasatan bagi mengenalpasti punca pencemaran tersebut dan seterusnya mengambil langkahlangkah proaktif untuk mengatasi masalah pencemaran tersebut termasuklah mengambil tindakan undang-undang.
Dalam usaha menjaga kebersihan sungai-sungai di Selangor, Kerajaan Negeri adalah tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab melakukan pencemaran sungai. Tindakan terhadap pencemar boleh diambil melalui:
- Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-Effluen Perindustrian), 1979
- Enakmen LUAS 1999; dan iii. Akta Kerajaan Tempatan.
Dalam pada itu, bagi memantapkan penguatkuasaan terhadap aktiviti-aktiviti pencemaran sumber air, Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menyediakan Peraturan-peraturan (Pelepasan Bahan Pencemar) LUAS 2010 bagi mengawal bahan pencemar yang masuk ke dalam sumber air sekaligus dapat mengurangkan kesan terhadap kualiti air sumber air .
Pada masa yang sama juga, Kerajaan Negeri sedang berusaha menganjurkan aktiviti kesedaran awam dengan melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memberi pendedahan akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar di samping menjamin sumber air serta mengekalkan kualiti hidup masyarakat sejahtera. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan melalui LUAS adalah:
- Program Pembersihan Pantai dan Kempen Tanam Pokok Bakau di Pantai Tanjung Harapan,
- Program Qua-Qua yang melibatkan komuniti dan pelajar sekolah dalam pemantauan kualiti air sungai yang telah dilancarkan pada 29 Jun 2008,
- Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak; dan
- Mengadakan ceramah-ceramah dan pameran-pameran dari semasa ke semasa.