Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
53) GANGGUAN AIR
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri bersetuju untuk gazetkan semua bahagian hulu sungai LRA untuk menghalang aktiviti yang memerlukan discaj ke dalam sungai?
Bagi tujuan melindungi sungai dari sebarang gangguan kualiti, kuantiti, struktur dan persekitaran fizikalnya, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah memperuntukkan mengenai Perizaban sungai sebagai Zon Pelindungan. Lanjutan dari itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 22/2008 yang diadakan pada 6 Ogos 2008 telah membuat ketetapan supaya rizab sungai di Negeri Selangor iaitu Sungai Klang, Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Buloh, Sungai Bernam, Sungai Sepang dan Sungai Tengi diwartakan untuk mengawal aktiviti di sepanjang sungai dan rizabnya seterusnya dapat menghalang dan mengurangkan aktiviti yang menyebabkan discaj ke dalam sungai yang boleh memberi kesan kepada 34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), telah mengambil tindakan secara berperingkat-peringkat mewartakan kesemua sungai berserta rizab sungai 50 meter kiri dan 50 meter kanan dari tebing sungai di Negeri Selangor meliputi kawasan hulu sungai hingga ke hilir sungai rizab sungai bermula dari tahun 2010. Status pengazetan sehingga Februari 2020 adalah sebanyak 412 cabang sungai di Negeri Selangor telahpun mempunyai pelan ukur demarkasi yang disediakan Jurukur Tanah Berlesen dan pelan-pelan ini akan dikemukakan kepada JUPEM Selangor untuk semakan dan pengesahan untuk penerbitan Pelan Warta dan seterusnya akan diangkat kepada Kerajaan Negeri untuk Warta Negeri.
-
Adakah Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengenakan 'development levy' atas sebahagian peratus kepada bil air untuk memantapkan infrastruktur kecemasan air?
Apa-apa caj yang dikenakan oleh Air Selangor adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Air, 2006 (“Akta IPA”) dan di kawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (“SPAN”). Salah satu caj yang dibenarkan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa adalah Caj Sumbangan Modal ( Capital Contribution) iaitu caj yang dikenakan ke atas pemaju-pemaju hartanah untuk membiayai kerja-kerja memajukan sourceworks (empangan, loji rawatan air dan sebagainya) serta menaik taraf sistem bekalan air dan tangki air.