Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

15) FRUIT VALLEY

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejak pemerintahan Pakatan Rakyat dalam negeri Selangor, apakah konsep pengurusan yang terbaru untuk meningkatkan produktiviti Fruit Valley?

    Sejak pemerintahan Pakatan Rakyat dalam Negeri Selangor, Selangor Fruit Valley telah diarah untuk menggandakan usaha bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran. Usaha-usaha bagi meningkatkan amalan pengurusan ladang yang baik telah dilaksanakan ke arah meningkatkan jumlah keluaran produk terutamanya belimbing besi dari ladang ini yang telah dikenali di pasaran Eropah.  Pada masa ini 86% dari keluaran belimbing besi dari Selangor Fruit Valley dieksport ke Eropah (UK) dan Kanada.

    Ladang ini juga telah melaksanakan pembelian buah-buahan seperti belimbing besi, rambutan, manggis, dan nenas dari petani-petani luar sekiranya berlaku permintaan yang lebih tinggi dan ladang tidak dapat memenuhi permintaan tersebut.

     

  2. Sila berikan maklumat terperinci berkenaan usaha sama di Fruit Valley, contohnya pembahagian syer, pelaburan asing yang terlibat dan lain-lain yang sewajarnya.

    Pembangunan dan pengurusan Selangor Fruit Valley dilaksanakan sepenuhnya oleh PKPS melalui anak syarikatnya iaitu Selangor Oil Palm Industries Corporation Sdn. Bhd. (SOPIC). Saham SOPIC adalah 100% dimiliki oleh PKPS.  Oleh itu tiada usaha sama atau pelabur asing yang terlibat di dalam projek Selangor Fruit Valley.

  3. Apakah tindakan pihak kerajaan negeri untuk melibatkan lebih ramai orang tempatan dalam pembangunan Fruit Valley, terutamanya dalam keadaan ekonomi sebegini?

    Arahan Kerajaan Negeri kepada pengurusan ladang Selangor Fruit Valley bagi menggandakan usaha terutama pembangunan pasaran eksport adalah bertujuan antara lain bagi membantu pengusaha-pengusaha buah-buahan tempatan memasarkan produk keluaran mereka untuk pasaran eksport seperti yang sedang dirintis pada waktu ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.