Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

103) FRUIT VALLEY

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Dato' Haji Raja Ideris Bin Raja Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status perkembangan Selangor Fruit Valley?

    Selangor Fruits Valley (SFV) yang terletak di KM 7, Jalan Rawang-Bestari Jaya telah dibangunkan pada tahun 2003. Keluasan kawasan adalah lebih kurang 1,000 hektar. Daripada jumlah tersebut, seluas 180 hektar telah dipajakkan kepada 2 buah syarikat iaitu Kayangan Rampai Sdn. Bhd. Dan Eco Murni Sdn. Bhd. Untuk projek tanaman buah-buahan. Baki kawasan seluas 820 hektar telah diusahakan oleh anak syarikat PKPS iaitu Selangor Oil Palm Industries Corporation Sdn. Bhd. (SOPIC). Oleh kerana pengurusan projek ini tidak memuaskan, maka mulai 2 Januari 2010, PKPS telah mengambil alih semua aktiviti  SFV daripada pengurusan SOPIC dan kakitangan syarikat telah ditamatkan perkhidmatan.

    Operasi SFV pada masa ini dikendali oleh pasukan pengurusan yang ditempatkan di dalam ladang dan bukan lagi ’remote control’ dari Shah Alam. Penekanan oleh pengurusan baru adalah ’efficiency’ dengan kos pengeluaran yang lebih rendah dan peningkatan tahap pengeluaran. Tanaman yang tidak ’viable’ seperti ’dragon fruit’ dan kopi telah diganti dengan tanaman tembikai.           

    STATUS SEMASA 

    Pada ketika ini, jenis tanaman dan keluasan kawasan yang diusahakan adalah seperti berikut :

    BIL TANAMAN KELUASAN TANAMAN  (HEKTAR)
    1 Belimbing 100
    2 Tembikai 240
    3 Nangka 94
    4 Pisang 58
    5 Mangga 13
    6 Kelapa Pandan 7
    7 Limau Mexico 6
    8 Jambu Batu 3
    9 Rambutan 2
    10 Limau Kasturi 1
    11 Durian Belanda 1
    12 Pulasan 1
    13 Dragon Fruit 3
    14 Betik 80
    15 STFG 72
    16 Pajakan kecil 250
    17 Kolam/jalan/pejabat 35
    18 Tanah Kosong 34
         
      JUMLAH KESELURUHAN 1,000

     

    PKPS mengambil inisiatif untuk menanam tanaman buah-buahan seperti durian, manggis dan kelapa pandan dalam usaha untuk meningkatkan varieti jenis-jenis tanaman yang ada di SFV. Pada masa yang sama, PKPS bercadang mengujudkan Pusat Latihan Pertanian dan Resort bagi menggalakkan pelawat untuk mengunjungi SFV dalam menyokong program pelancongan yang dikendalikan oleh Tourism Selangor.

  2. Apakah inisiatif seterusnya untuk memajukan produk fruit salad negeri?

    LATAR BELAKANG

    Kilang Fruits salad terletak di Puchong telah mula beroperasi pada tahun 2007 di mana anak syarikat iaitu PKPS Agro Industries Sdn. Bhd. (PAISB) telah mengadakan usahasama dengan Syarikat Icor Mirak (M) Sdn. Bhd. (Icor Mirak). PAISB telah mengadakan kerjasama dengan Icor Mirak dalam menceburi bidang pengilangan dan pembekalan produk fruits salad. Aktiviti dijalankan melalui syarikat usahasama yang ditubuhkan iaitu Premium Sanitised Product Sdn. Bhd. (PSP). Sasaran pasaran adalah negara-negara Timur Tengah khususnya Emiriah Arab Bersatu. Bagaimanapun, usahasama ini tidak dapat diteruskan kerana masalah harga jualan produk yang didapati tidak menguntungkan PSP.

     STATUS SEMASA

    PSP telah mula mencari peluang-peluang perniagaan baru dengan memberi tumpuan kepada pasaran domestik seperti TESCO, GIANT dan lain-lain. Bagaimanapun, pasaran sedia ada tidak dapat menerima produk fruits salad yang lebih mahal berbanding harga produk buah-buahan yang disediakan dengan cara konvensional kerana kos pembungkusan yang tinggi. Operasi fruits salad telah diberhentikan buat sementara waktu bagi mengelakkan kerugian berterusan dan kemudahan kilang sedia ada telah disewakan kepada usahawan.

  3. Apakah perancangan kerajaan untuk menggalakkan rakyat terlibat dalam pengeluaran fruit salad ?

    Memandangkan kilang fruits salad menggunakan teknologi yang tinggi, produk keluaran kilang fruits salad adalah lebih mahal dan tidak kompetitif. Bagaimanapun, sebagai galakan kepada rakyat untuk terus  terlibat dalam aktiviti pengeluaran buah-buahan, PKPS telah menyediakan luang pasaran di Pasar Borong Selangor untuk memberi peluang kepada petani-petani memasarkan sendiri hasil keluaran mereka terus kepada orang ramai.

Lampiran

Tiada Lampiran.